MANGSA maut di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
MANGSA maut di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Remaja lelaki dan perempuan berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditunggangi  merempuh belakang lori di Kilometer 13 Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira 9 malam itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Parit Raja ke Batu Pahat.

"Sebaik tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggang mereka merempuh belakang lori yang dipercayai tersadai di tepi jalan berkenaan sejak petang tadi.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan serius di bahagian badan," katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 1:41 AM