ZAKARIA
ZAKARIA
myMetro

Kuala Lumpur: Anak peneroka Felda, Datuk Zakaria Arshad, 56, dilantik menerajui konglomerat perladangan dan syarikat pengeluar minyak sawit mentah utama dunia, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Syarikat itu mengumumkan pelantikan Zakaria sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) yang baharu berkuat kuasa 1 April.

Zakaria yang kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif/Ketua Kluster Hiliran Sawit di FGV, akan menggantikan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang tamat kontrak setelah berkhidmat lebih tiga tahun sebagai CEO dan Presiden Kumpulan pada 31 Mac 2016.

Anak peneroka FELDA Palong 1, Negeri Sembilan, Zakaria berkhidmat dengan Kumpulan FELDA lebih 32 tahun sejak 1984 termasuk FELDA Rubber Industries Sdn Bhd, Malaysia Cocoa Manufacturing Sdn Bhd, FELDA Rubber Products Sdn Bhd dan FELDA Marketing Services Sdn Bhd.

Beliau kemudian dilantik sebagai CEO Delima Oil Products Sdn Bhd sebelum menjadi Ketua Kluster Hiliran Sawit pada Januari 2014.

Zakaria memegang Ijazah Sains Sosial (Ekonomi) daripada Universiti Sains Malaysia dan telah menghadiri kursus perniagaan eksekutif Harvard Business School dan Pembroke College, Cambridge University.

Selain Felo Persatuan Antarabangsa Nanosains University of Cambridge, Zakaria juga Naib Pengerusi Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) serta Lembaga Pemegang Amanah, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Sementara itu, Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, dengan pelantikan baharu ini, FGV akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peserta agrobisnes mapan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 6:53 AM