GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: FGV Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd memperkenalkan tiga produk industri baharu berasaskan tumbuhan di bawah jenama PREMEO.

Dengan pengenalan produk-produk ini iaitu gantian lelemak haiwan PREMEO, gantian lelemak tenusu PREMEO dan minyak gorengan PREMEO, FGV berkata ia berhasrat memperluaskan segmen hilirannya menerusi produk nilai tambah ke rantau Asia Pasifik.

"Pengenalan rangkaian produk PREMEO baharu ini juga seiring dengan hasrat FGV untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk lelemak dan minyak berasaskan tumbuhan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor makanan sejuk beku serta pencuci mulut di negara seperti Korea Selatan dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut FGV, ketiga-tiga produk berkenaan telah diformulasikan sebagai sebagai lelemak alternatif berasaskan tumbuhan yang lebih sihat untuk pengeluar makanan serta kegunaan industri gorengan seperti restoran perkhidmatan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan FGV Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, syarikat menyedari terdapat peningkatan minat pengguna terhadap sumber makanan lestari dan berasaskan tumbuhan yang didorong oleh perubahan diet pengguna.

"Menerusi produk baharu PREMEO, pengeluar makanan dapat menawarkan produk bergred tinggi dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti bebas daripada kandungan patogen dan mikrob perosak," katanya.

Haris Fadzilah berkata, produk terbabit dibangunkan menerusi penyelidikan secara khusus di Pusat Inovasi FGV di Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:01 PM