Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Selepas kejadian Surau Hubbun Watan, Taman Seremban Jaya dan Bangunan UMNO Bahagian Rembau dijadikan sasaran vandalisme Rabu lalu, Masjid Hussain, Seremban 2, di sini turut dicemari dengan tulisan yang menghina Nabi Muhammad SAW, semalam.

Kontraktor pembersihan masjid itu, Sazali Mohd Yasin berkata, dalam kejadian 11 pagi itu, dia dimaklumkan pekerjanya terdapat tulisan di lapan bahagian dinding masjid terbabit tertera tulisan menghina Rasulullah SAW.

Katanya, dia dimaklumkan sebelum kejadian terdapat majlis akad nikah pertama di masjid itu yang beroperasi awal bulan ini dan didatangi ramai orang.

"Pekerja memaklumkan ternampak seorang lelaki berlegar-legar di masjid itu semalam namun kami tidak tahu siapa melakukannya. Biarpun begitu ada dua pengawal keselamatan memantau kawasan ini," katanya.

Katanya, disyaki perbuatan itu dilakukan orang dewasa kerana tulisan berada di bahagian yang tinggi.

Sehubungan itu katanya, laporan polis dibuat pihak pengurusan masjid di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2, di sini pada petang kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 12:23 PM