BAKAL mengeluarkan satu lagu tahun ini.
BAKAL mengeluarkan satu lagu tahun ini.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PERSEMBAHAN nyanyiannya ketika menyampaikan lagu penyanyi terkenal, Anita Sarawak berjudul Seksi, begitu baik yang menyerlahkan auranya sebagai penyanyi berbakat besar.

Malah wanita ini berkebolehan menyampaikan lagu pelbagai genre dengan gaya nyanyian bersahaja dan memiliki lantunan suaranya persis penyanyi profesional.

Nurul Syazwani Mohd Tarmizi, 25, berkata, bakat nyanyiannya adalah anugerah daripada Allah SWT yang diwarisi daripada ibu dan kakak.

Menurutnya, bakat itu diasah sejak di sekolah rendah dengan membuat banyak persembahan nyanyian dan menari.

"Di sekolah menengah bakat saya semakin berkembang apabila guru sering membawa menyertai pelbagai pertandingan nyanyian lagu patriotik.

"Saya mula serius dalam bidang ini ketika melanjutkan pengajian dalam bidang seni persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.

Katanya, di UiTM dia mempelajari teknik nyanyian dan muzik yang betul, sekali gus meningkatkan prestasi nyanyiannya.

"Saya sering diundang menjadi penyanyi latar untuk program pertandingan nyanyian di sebuah syarikat penyedia kandungan dan hiburan ternama di Malaysia.

"Saya juga menjadi penyanyi latar untuk persembahan penyanyi tanah air seperti Marsha Milan, Aisyah dan ramai lagi.

"Ada juga masanya dipanggil untuk membuat persembahan koir dan akan datang bersama pasukan seramai 15 orang," katanya.

NURUL Syazwani sering diundang sebagai penyanyi latar.
NURUL Syazwani sering diundang sebagai penyanyi latar.

Nurul Syazwani yang juga guru sebuah sekolah swasta di Lembah Klang berkata, walaupun sudah menyanyi sejak kecil tetapi perasaan gemuruh masih ada setiap kali hendak membuat persembahan.

"Satu lagi saya jenis banyak berfikir mengenai perkara tidak dijangka ketika berada di atas pentas seperti terjatuh kerana memakai kasut tumit tinggi dan terlupa lirik.

"Oleh itu, saya perlu memastikan perkara sebegini tidak berlaku dan dapat membuat persembahan nyanyian dengan baik serta selesa," katanya yang berkongsi cabaran dilaluinya.

Katanya lagi, cabaran lain ialah perasaan takut yang datang setiap kali hendak membuat persembahan dan dia menggunakan teknik menghafal lagu berulang kali bagi menghilangkan perasaan itu.

"Ada juga yang menghina nyanyian saya dengan memberikan komen negatif. Tetapi tidak mengambil pusing kerana nyanyian dilakukan untuk diri sendiri, bukannya orang lain.

"Peringkat awal, ayah kurang bersetuju saya menceburi bidang nyanyian kerana menganggap ia tidak mempunyai jaminan masa depan.

"Tetapi saya minat dan bersungguh-sungguh mahu serius dalam bidang berkenaan yang akhirnya membuatkan ayah akur," katanya.

Jelasnya, kini ayah adalah insan pertama yang teruja jika dia menyertai pertandingan dan memberi sokongan moral.

"Saya aktif menyertai pertandingan kerana mahu menonjolkan bakat dan masyarakat luar dapat melihatnya.

"Malah saya juga dalam perancangan mengeluarkan satu lagu tahun ini dan diharapkan dapat diterima masyarakat," katanya.

Nurul Syazwani berkata, dia mempunyai pengalaman diri yang ingin dikongsi kepada umum, yang mana baru membuat kemunculan semula nyanyian selepas ditimpa kemalangan jalan raya pada penghujung tahun lalu.

Menurutnya, kemalangan dilanggar sebuah kereta menyebabkan mukanya cedera parah kerana tersembam di bahagian cermin sisi kenderaan itu.

"Impaknya menyebabkan bahagian hidung dan tulang rahang patah dan muka menjadi senget.

"Disebabkan kecederaan ini juga saya tidak boleh menyanyi selama enam bulan," katanya.

Katanya, ketika itu dia berada pada fasa sukar dalam hidupnya dan insiden berkenaan menjejaskan emosinya.

"Saya turut mengalami kemurungan tetapi bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat membantu dan mereka tidak membiarkan bersendirian di rumah.

"Di sebalik ujian getir dilalui, ramai memberitahu tone suara saya lebih sedap selepas kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 7:00 AM