Tembok Masjid Andalusia di Bandar Laguna Merbok yang diconteng dengan tulisan menghina nabi, Selasa lalu. FOTO IHSAN Pembaca
Tembok Masjid Andalusia di Bandar Laguna Merbok yang diconteng dengan tulisan menghina nabi, Selasa lalu. FOTO IHSAN Pembaca
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis sedang menjejaki suspek yang terbabit melakukan khianat menconteng pagar Masjid Andalusia di Bandar Laguna Merbok di sini dengan tulisan menghina nabi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejadian yang dipercayai berlaku Selasa lalu, disedari pengawal keselamatan sebuah bangunan berhampiran selepas menyedari terdapat kesan conteng dengan tulisan yang menghina nabi.

Difahamkan, pengawal keselamatan itu ternampak seorang lelaki sedang menconteng tembok berkenaan menggunakan cat merah.

Sementara itu, jemaah masjid berkenaan, Mohd Hashim Ali, 53, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di masjid berkenaan dan menyifatkan perbuatan individu berkenaan sebagai kurang ajar serta keterlaluan.

Katanya, dia dimaklumkan pengawal keselamatan sempat menegur lelaki berkenaan menyebabkan suspek bergegas meninggalkan lokasi dan tidak sempat ditahan," katanya.

Menurut Mohd Hashim, kejadian itu mengejutkan penduduk di situ dan suspek perlu ditangkap segera bagi mengelak berlaku lagi kejadian sama kerana selama ini penduduk di sini hidup aman damai walaupun berbilang bangsa dan agama.

Dalam pada itu, pihak pengurusan masjid enggan memberi sebarang komen berkaitan kejadian itu sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 3:41 PM