JEGOU (kanan) diiringi polis Argentina untuk dipindahkan dari Interpol Buenos Aires ke Mendoza. FOTO AFP
JEGOU (kanan) diiringi polis Argentina untuk dipindahkan dari Interpol Buenos Aires ke Mendoza. FOTO AFP
AFP

Mendoza: Seorang wanita warga Argentina yang mendakwa dua pemain ragbi antarabangsa Perancis merogol dan memukulnya dimasukkan ke hospital, kata peguamnya kepada AFP.

Wanita berusia 39 tahun itu mengalami gangguan emosi dan fizikal 'di atas apa yang berlaku' serta akan menerima rawatan selama 24 hingga 48 jam, kata peguam Natacha Romano.

Hugo Auradou, 20 tahun, dan Oscar Jegou, 21 tahun, ditangkap awal minggu ini di Buenos Aires selepas wanita itu menuduh mereka merogolnya berkali-kali dan memukulnya dengan kejam di bilik hotel di Mendoza selepas perlawanan.

Mereka dipindahkan dari ibu pejabat Interpol Buenos Aires ke Mendoza, di mana mereka akan disoal siasat.

Mereka menafikan tuduhan itu, mengatakan hubungan seksual dengan wanita itu adalah secara bersetuju.

Romano memberitahu AFP bahawa anak guamnya menderita akibat keganasan yang 'luar biasa' dilakukan penyerangnya di sebuah bilik hotel, dengan kecederaan di wajah, belakang, payudara, kaki dan rusuk serta pelbagai kesan gigitan serta calar.

Menurut peguam itu, anak guamnya mendakwa dia diperkosa 'sekurang-kurangnya enam kali' oleh salah seorang pemain itu dan sekali lagi oleh yang lain. Dia dilaporkan cuba melarikan diri beberapa kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 8:51 AM