FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


BEKAS Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh akan didakwa berhubung kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya sudah mendapat izin bagi mendakwa Sabudin di mahkamah berkenaan pada jam 9 pagi.

“Beliau bakal menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

“Maklumat lanjut berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan SPRM menemui wang tunai RM1 juta di rumah milik pegawai kanan DBKL di Ukay Perdana, Ampang pada 9 Mei tahun lalu.

Penemuan wang tunai itu susulan penahanan beberapa suspek berusia antara 41 hingga 57 tahun itu di sebuah restoran sekitar Kuala Lumpur antara 12 hingga 12 tengah malam, 8 Mei tahun lalu.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal SPRM, Timbalan Pengarah berkenaan didakwa menerima RM200,000 daripada kontraktor sebagai balasan memberikan kerja penambah baikan infrastruktur di bawah seliaannya.

Kontraktor terbabit bukan sahaja perlu mengeluarkan wang tetapi difahamkan turut dipaksa membeli barangan mentah kejuruteraan dengan harga dua kali ganda daripada syarikat proksi milik suspek.

Kontraktor terpaksa berbuat demikian selepas memenangi tender DBKL dengan bantuan Timbalan Pengarah agensi pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 12:50 PM