SIRI House of the Dragon musim kedua tidak terkesan untuk siri lain, lebih tekankan keganasan perang.
SIRI House of the Dragon musim kedua tidak terkesan untuk siri lain, lebih tekankan keganasan perang.

House of the Dragon musim kedua

PENCIPTA: George R R Martin & Ryan Condal

KARYA ASAL: Fire & Blood karya George R R Martin

PELAKON: Paddy Considine, Matt Smith, Olivia Cooke, Emma D'Arcy, Steve Toussaint, Eve Best, Sonoya Mizuno, Fabien Frankel and Rhys Ifans

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan siri ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton siri berkenaan)

SELEPAS pengakhiran dramatik Game of Thrones, prekuel House of the Dragon mempunyai potensi untuk mengambil banyak arah yang nampak lebih 'liar'.

Siri asal menyelitkan elemen mengejutkan seperti zombi, infantisid (membunuh bayi baru lahir), inses (sumbang mahram) dan pengasingan.

Namun, House of the Dragon lebih terkawal, serius, dan 'halus' untuk rancangan mengenai keluarga bangsawan yang menunggang naga.

Kehalusan ini adalah kekuatan dan kelemahan, seperti yang dilihat dalam empat episod pertama musim kedua yang dikeluarkan lebih awal kepada pengkritik.

Watak-watak lebih mendalam, terdapat kurang kejutan dan siri ini menarik penonton dengan kelembutan yang sebenarnya baru dilihat dari lapisan pertama saja.

Walaupun babak-babak aksi yang ganas berlaku awal dalam musim ini, kelembutan ini menambah tarikan rancangan tersebut. Menjelang episod empat, siri ini mula menonjolkan detik-detik mendebarkan.

Siri ini memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa untuk berkembang. Daripada merangkumi tempoh masa yang panjang, ia memfokuskan kepada konflik semasa antara dua ratu, Alicent dan Rhaenyra, serta 'rumah' mereka yang berada di ambang perang.

Alicent adalah ibu kepada Raja Aegon yang baru, saudara tiri Rhaenyra, yang dilihat oleh Rhaenyra dan penyokongnya sebagai perebut takhta.

Konflik ini didorong oleh seksisme atau diskriminasi berdasarkan jantina ketika zaman pertengahan, penasihat yang dahagakan darah, dan kata-kata terakhir seorang lelaki yang sedang nazak.

Episod pertama mengikuti corak musim satu, dengan watak-watak kebanyakannya membincangkan peristiwa di Westeros. Ini membantu penonton mengikuti watak yang besar dan saling berkaitan.

Walaupun pendekatan yang banyak mengimbas kembali ini mungkin kelihatan tak berkesan untuk siri lain, ia berkesan di sini. Namun, ia mungkin tidak menarik peminat baharu dan hanya memuaskan peminat lama.

Kesan awal adalah, House of the Dragon kekurangan 'keseronokan' Game of Thrones. Ia bergerak perlahan, menekankan betapa ganasnya perang, dendam yang sia-sia, dan kemusnahan bersama yang tidak dapat dielakkan dengan naga di kedua-dua belah pihak.

Tidak seperti Game of Thrones, ia mengelakkan humor dan berisiko mengenepikan watak-watak terbaiknya untuk lebih banyak berbincang dan berinteraksi.

Rhaenyra dan Alicent berada dalam kedukaan yang mendalam dan tetap kurang dalam babak aksi. Watak Daemon yang dimainkan oleh Matt Smith juga dipisahkan dari 'geng-geng' utama.

Apapun, House of the Dragon musim kedua tetap akan menjadi siri yang mendebarkan dan mula ditayangkan di platform HBO dan HBO GO bermula 17 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:45 AM