Nor 'Asyikin Mat Hayin


PASANGAN suami isteri ini mempunyai perancangan kewangan yang baik dalam merealisasikan impiannya mereka memiliki rumah pertama.

Langkah awal mereka ialah mewujudkan simpanan khas untuk rumah selama lima tahun akhirnya berjaya mengumpul sehingga RM160,000.

Wang simpanan itu hasil kerja keras mereka sebagai pencipta kandungan di media sosial pada usia muda.

Fatin Nadiah Md Nazri, 29, berkata, dia dan suami Mohamad Aidil Abdul Rahim, 29, membeli rumah sekunder (subsale) iaitu teres satu tingkat berharga RM280,000 di Melaka pada tahun 2021.

Menurutnya, wang simpanan itu digunakan membayar wang

pendahuluan sebanyak 15 peratus daripada harga rumah iaitu RM48,000, yuran peguam untuk perjanjian jual beli rumah (S &P ) dan pengubahsuaian sebanyak RM100,000.

"Dia menggunakan pendekatan ini kerana mahu mengurangkan komitmen pinjaman dengan bank.

"Ini juga mahu memastikan mereka mempunyai kewangan yang baik, berkemampuan untuk membayar ansuran rumah dan tidak terbeban," katanya.

KEADAAN dapur ketika kerja-kerja pengubahsuaian.
KEADAAN dapur ketika kerja-kerja pengubahsuaian.

Katanya, dia memilih membeli rumah berkeluasan 1,700 kaki persegi itu kerana kedudukan yang strategik bersebelahan dengan Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin dan Lebuhraya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

"Kemudahan di kawasan perumahan ini juga banyak yang mempunyai sekolah dan kedai untuk membeli barangan keperluan berhampiran.

"Proses untuk membeli rumah ini mudah dan permohonan pembiayaan perumahan lulus dalam tempoh dua minggu," katanya.

Fatin Nadiah berkata, pada peringkat awal bank memaklumkan dokumen permohonan pembiayaan kurang kuat kerana bekerja sendiri.

"Kemudian saya menyediakan dokumen sokongan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji. Alhamdulillah permohonan ini berjaya dalam masa dua minggu.

FATIN Nadiah di hadapan rumahnya.
FATIN Nadiah di hadapan rumahnya.

"Ini sedikit cabaran yang saya hadapi untuk membeli rumah impian bersama keluarga," katanya.

Katanya lagi, dia menyediakan bajet yang besar untuk pengubahsuaian kerana rumah sekunder berusia enam tahun yang dibeli itu perlu dibaik pulih beberapa aspek.

Tambahan pula, katanya, dia dan suami mempunyai konsep hiasan dalam rumah pilihan.

"Antara pengubahsuaian dilakukan ialah memasang kabinet dapur, siling kapur, lantai batu plastik komposit (SPC) dan menukar cat.

"Keadaan rumah berubah sepenuhnya daripada yang asal bagi mewujudkan persekitaran kondusif dan selamat untuk anak-anak," katanya.

RUANG makan selepas pengubahsuaian.
RUANG makan selepas pengubahsuaian.

Jelasnya, kejayaan membeli rumah itu adalah pencapaian peribadi mereka suami isteri yang mahu memiliki kediaman pada usia muda.

"Saya berharap kisah ini boleh memberi inspirasi dan menjadi panduan kepada golongan muda untuk memiliki rumah awal.

"Nasihat saya jangan 'markup' pembiayaan perumahan atau membuat pinjaman peribadi untuk membeli atau pengubahsuaian rumah.

"Ini kerana tindakan itu boleh menjerat diri dengan bebanan hutang. Kita layak membeli rumah tetapi belum tentu mampu membayar membeli rumah kerana bukan sahaja perlu membayar ansuran bulanan tetapi juga komitmen lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 7:01 AM