SELESA dengan irama jazz dan klasik.
SELESA dengan irama jazz dan klasik.
Ramlah Zainal


BIDANG seni bagaikan sudah sebati dengan penyanyi, Farhan Azizan, 39, sejak dulu.

Bagi penyanyi yang digilap menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim keempat (AF4) ini, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya nyanyian yang menjadi minat dan punca pendapatannya sampai sekarang.

"Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti menyanyi sebaliknya masih memenuhi undangan persembahan ketika ini.

"Cuma banyak persembahan dijayakan kurang mendapat liputan pihak media dan dihebahkan kepada umum.

"Justeru, peminat juga tidak nampak kelibat saya muncul di kaca televisyen hingga timbul dakwaan saya sudah meninggalkan karier nyanyian," katanya.

Bukan saja menyanyi, Farhan juga mengembangkan cabang seninya kepada bidang pengacaraan yang turut diminatinya.

"Selain menyanyi, saya juga mengembangkan bakat sebagai pengacara dan terbabit dalam pengurusan acara. Jadi, dakwaan mengenai saya sudah menyepikan diri dari bidang seni itu tidak benar sama sekali," katanya yang turut menjalankan perniagaan sebagai jaminan masa depannya dan keluarga.

Ditanya sama ada dia lebih memilih dengan undangan persembahan yang diterima, Farhan menafikan perkara itu.

"Saya tidak memilih tawaran persembahan yang datang tapi tidak nafikan kebanyakan undangan yang diterima daripada 'private show'.

"Mungkin kerana genre lagu jazz dan klasik dibawakan membuatkan pihak terbabit berminat untuk mengundang saya untuk menjayakan acara mereka," katanya.

Bukan sekadar dikenali sebagai penyanyi jazz, Farhan juga mampu menyanyikan lagu klasik dengan baik.

Farhan berkata, dia juga sudah didedahkan dengan lagu-lagu bergenre sedemikian sejak kecil lagi.

"Saya sudah didedahkan dengan lagu irama jazz dan klasik sejak kecil kerana ahli keluarga memang meminati genre sebegitu.

"Muzik jazz dan klasik sudah sebati dalam diri dan saya akan terus kekalkan irama berkenaan kerana ia membawa nama saya dalam kelas tersendiri dalam bidang seni tanah air," katanya.

Mengenai genre lagu berbeza pula, Farhan berkata, dia selesa dengan lagu genre jazz dan klasik yang ditampilkan ketika ini.

"Buat masa ini, saya akan teruskan dengan genre yang sesuai dengan diri ini dulu. Bukan tidak mahu mencuba sesuatu yang baru tapi genre lain nampaknya agak kurang menjadi," katanya yang menjadikan Dionne Warwick dan Liza Aziz sebagai idola dalam bidang nyanyian.

Dalam perkembangan lain, Farhan juga merancang untuk menghasilkan lagu baru bila sampai masanya nanti.

"Saya juga bakal mengadakan 'showcase' buat peminat setia pada hujung tahun ini. Pada masa sama, saya baru selesai menjayakan Big Band Project bersama Datuk Suhaimi Sulaiman dan beberapa rakan artis lain," kata ibu kepada dua cahaya mata iaitu Souffea Zulaeqha dan Orkeyd Fatheema ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:55 AM