Seremban: Tempoh tahanan reman lima lelaki berusia 21 hingga 44 tahun disambung sehingga Selasa ini selepas dipercayai terbabit menconteng surau di Taman Seremban Jaya dan Bangunan UMNO Bahagian Rembau, di sini.

Difahamkan, semua suspek sebelum ini direman sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Superintendan Khoo Leng Huat berkata, pihaknya memperoleh kebenaran mahkamah untuk memanjangkan tempoh tahanan tiga hari bagi membantu siasatan.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan jemaah Surau Hubbun Watan, Fasa 10, Taman Seremban Jaya, Rabu lalu dikejutkan kejadian tempat ibadat itu diconteng dengan logo Nazi serta perkataan ‘Samsung’, ‘Mohant’ dan ‘18’.

Selain surau, Bangunan UMNO Bahagian Rembau di Jalan Seremban-Tampin dan Masjid Taman Seremban Jaya, di sini turut menjadi sasaran vandalisme, dipercayai dilakukan kumpulan sama.

Berikutan itu, lima lelaki ditahan pada hari kejadian antara jam 9.50 pagi hingga 4 petang bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:12 AM