ANTARA kesan conteng di dinding  Masjid Hussain,  Seremban 2.
ANTARA kesan conteng di dinding Masjid Hussain, Seremban 2.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Baru saja dua bulan beroperasi, Masjid Hussain, Seremban 2, di sini, yang dibina dengan nilai RM15 juta menjadi sasaran vandalisme apabila dicemari tulisan menghina Nabi Muhammad SAW dan mencemarkan kesucian Islam, kelmarin.

Penyelia pembersihan masjid itu, Noorhayati Salimim berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi, dia bersama beberapa pekerja sedang membersihkan masjid itu sebelum satu rombongan untuk majlis pernikahan tiba di masjid itu tidak lama kemudian.

“Ketika saya mahu membersihkan tandas, saya ternampak seorang lelaki berusia 20-an sedang merayau-rayau di sekitar kawasan ini.

“Tetapi pada masa itu, saya tidak mengesyaki apa-apa dan meneruskan kerja. Namun, selepas 15 minit keluar dari tandas, saya mendapati banyak tulisan diconteng di rumah ibadat ini,” katanya.

Menurutnya, dia yang meninjau di sekitar masjid itu mendapati terdapat 13 tulisan diconteng di dinding yang menghina Rasulullah SAW dan mencemarkan kesucian Islam.

“Berikutan itu, saya memaklumkan perkara ini kepada pengurusan masjid dan satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2, di sini pada petang kejadian,” katanya.

Noorhayati berkata, dia mengesyaki kejadian itu dilakukan orang dewasa berikutan contengan berada di bahagian tinggi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun yang dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, beliau menyifatkan kejadian itu dilakukan golongan yang ‘nakal tangan’ dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan tempat ibadat.

Sebelum ini akhbar ini pada Rabu lalu melaporkan Surau Hubbun Watan, Fasa 10, Taman Seremban Jaya, di sini menjadi sasaran vandalisme apabila diconteng dengan logo ‘Nazi’ serta perkataan ‘Mohant’, ‘Samsung’ serta ‘18’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 8:03 AM