RASHIDI (duduk tengah) bersama Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Dr Nirwan Noh (duduk dua dari kiri) dan Pengurus Acara Putrajaya Floria Sdn Bhd Harisfazila Ahmad (duduk dua dari kanan) ketika sidang media MOTN 2016.
RASHIDI (duduk tengah) bersama Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Dr Nirwan Noh (duduk dua dari kiri) dan Pengurus Acara Putrajaya Floria Sdn Bhd Harisfazila Ahmad (duduk dua dari kanan) ketika sidang media MOTN 2016.

Mengetengahkan Retro Magic, konsep unik bagi flotila berhias, Magic of the Night (MOTN) atau Keajaiban Malam pasti bakal menanti pengunjung dengan kelainan dan keunikan tersendiri.

Dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), MOTN 2016 yang memasuki tahun keenam penganjurannya akan diadakan serentak dengan Floria Diraja Putrajaya bermula esok hingga 4 Jun di Anjung Floria, Putrajaya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Datuk Rashidi Hasbullah berkata, MOTN2016 sudah dikenali sebagai acara ‘signature’ pelancongan negara sejak tahun 2011.

“Sejak kali pertama dianjurkan enam tahun lalu, acara ini makin mendapat perhatian pelancong bukan saja domestik tetapi juga pelancong antarabangsa.

“Selain menarik kedatangan pelancong ke Putrajaya, MOTN juga bertujuan menggalakkan penyertaan orang ramai dalam setiap acara anjuran MOTAC, sekali gus meningkatkan rasa kekitaan dan mensyukuri keharmonian negara,” katanya.

Mengulas mengenai kelainan MOTN 2016, kata Rashidi, konsep Retro Magic berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Melalui konsep Retro Magic, semua flotila yang mengambil bahagian akan mengangkat konsep itu, sekali gus menonjolkan kreativiti mereka.

“Selain itu, gabungan antara MOTN dan Floria Diraja Putrajaya juga memberikan kelainan kerana memberi peluang kepada pengunjung merasai warna-warni dua acara meriah ini,” katanya.

Sebanyak 14 flotila dijangka menyertai acara sembilan hari berwarna-warni itu dan setiap satunya akan menampilkan gabungan gemerlapan lampu, warna dan seni reka melambangkan ikon dan produk pelancongan dan kebudayaan dari negeri berkenaan dalam suasana retro.

Flotila yang bakal belayar di Tasik Putrajaya juga akan bertanding merebut beberapa gelaran seperti Flotila Keseluruhan terbaik, Flotila Paling Kreatif, Flotila Hiasan Lampu Terbaik dan Flotila Paling Popular yang dipilih melalui pengundian awam.

Orang ramai boleh mengundi flotila pilihan mereka untuk kategori Flotila Paling Popular melalui kotak undian yang akan disediakan di tapak acara dan juga melalui Facebook MOTAC https:/www.facebook.com/mymotec mulai 28 Mei hingga jam 12 tengah hari 4 Jun.

Bagi menambahkan kemeriahan Keajaiban Malam, MOTAC juga menganjurkan Pertandingan Fotografi MOTN 2016 yang menawarkan hadiah RM3,900 untuk lapan pemenang bertuah.

Dibuka selama empat hari bermula esok hingga 31 Mei, penyertaan boleh dihantar melalui serahan tangan atau dalam bentuk CD di lokasi acara MOTN 2016 mulai jam 8.30 malam hingga 11 malam 31 Mei ini. Pemenang akan diumumkan pada 3 Jun.

Perarakan flotila berhias MOTN 2016 akan bermula pada 9 malam hingga 10 malam setiap hari sepanjang acara ini berlangsung dan akan berlabuh sehingga 11 malam bagi memberi peluang kepada ornag ramai bergambar.

Anda yang sedang mencari lokasi menarik untuk dikunjungi pada hujung minggu dan sempena cuti sekolah ini, MOTN 2016 pasti menghidangkan keajaiban malam yang pastinya meninggalkan kenangan terindah. - Suliati Asri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 4:49 AM