PESERTA memakai kostum Spiderman menarik perhatian.
PESERTA memakai kostum Spiderman menarik perhatian.
Hafiz Ithnin


AKTIVITI berbasikal di dalam bandar bukan sesuatu yang baru kerana boleh dikatakan ada saja penganjurannya setiap minggu di seluruh negara dan sambutannya amat menggalakkan.

Seperti diketahui umum, aktiviti berbasikal antara kegiatan yang mempromosikan pelancongan di Malaysia dan disebabkan itu penganjurannya sering mendapat sokongan kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menyertai acara Putrajaya Bridges Night Ride (PNBR) 2018 anjuran Motac dan Perbadanan Putrajaya (PPj) di Dataran Putrajaya, Presint 3.

PBNR edisi keempat itu juga diadakan sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia. Acara berbasikal pada waktu malam itu juga memberi peluang kepada peserta menerokai pelbagai mercu tanda Putrajaya yang mempunyai reka bentuk dan ciri arkitektur unik serta menarik yang menyediakan pemandangan berbeza apabila dilimpahi cahaya berwarna-warni.

Peserta termasuk penggiat pelancongan, media, selebriti dan orang awam berkayuh mengikut kategori masing-masing iaitu lima kilometer (km), 10km dan 20km di laluan tarmac bermula di jalan utama berhadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya melalui enam jambatan iaitu Jambatan Sri Perdana, Jambatan Sri Wawasan, Jambatan Seri Bestari, Jambatan Seri Bakti, Jambatan Sri Gemilang dan Jambatan Putra serta lokasi penting seperti bangunan pentadbiran kerajaan, taman dan mercu tanda lain di Putrajaya.

Pelepasan kayuhan itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Motac, Datuk Haslina Abdul Hamid yang turut menyertai kayuhan 5km bersama tetamu lain.

Haslina berkata, acara berbasikal itu mampu mempromosikan produk pelancongan negara terutama di Putrajaya yang mempunyai pelbagai bangunan menarik.

Katanya, acara berbasikal yang diadakan di seluruh negara sentiasa mendapat sokongan kementerian kerana ia bukan saja memberi kesan baik kepada industri pelancongan, juga mewujudkan gaya hidup sihat kepada peserta.

PERTANDINGAN kereta berhias memeriahkan acara.
PERTANDINGAN kereta berhias memeriahkan acara.

“Melihat kesan positif aktiviti berbasikal kepada negara, kami adakan aktiviti ini sempena Hari Pelancongan Sedunia susulan acara utama yang dijalankan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) pada 27 September lalu.

“Selain itu, dalam acara ini juga orang ramai dapat beriadah bersama keluarga di Putrajaya yang terkenal sebagai lokasi pelancongan lengkap di dalam bandar,” katanya.

Pelbagai program sampingan yang menarik turut diadakan pada acara itu antaranya pertandingan swafoto, perarakan beroda, acara Singgah Seni, trak makanan, gerai jualan dan pameran serta promosi produk pelancongan oleh Motac dan PPj.

PPj juga turut memperkenalkan aplikasi Putrajaya Mobile yang menyediakan maklumat mengenai Putrajaya di hujung jari. Penggunaan aplikasi itu dilihat seiring tema sambutan Hari Pelancongan Sedunia pada tahun ini yang mengetengahkan teknologi digital dalam mempromosikan tempat pelancongan menarik.

Program Singgah Seni pula menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian yang dipersembahkan Combo PPj, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pancaragam dan kuiz pelancongan.

Program itu berlangsung dua jam bagi menghiburkan pengunjung yang tidak menyertai kayuhan berkenaan. Program Singgah Seni pula diadakan pada setiap hujung minggu di Dataran Putrajaya untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa.

PBNR 2018 juga dimeriahkan dengan penampilan pelakon filem Kalla seperti Faizal Hussein, Vanidah Imran, Azhan Rani dan Farali Khan yang turut mengerah tenaga berbasikal bersama peserta lain.

Mereka mengadakan sesi beramah mesra yang turut memberi peluang kepada pengunjung untuk memenangi hadiah menarik termasuk tiket percuma ke tayangan perdana dan baju-T edisi khas Kalla.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 5:25 AM