FATIN Nabilah Jan Muhameed bersama Nurasyikin Mas'aud (kanan)  melihat pelbagai jenis bunga kekwa pada Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 di Putrajaya.
FATIN Nabilah Jan Muhameed bersama Nurasyikin Mas'aud (kanan) melihat pelbagai jenis bunga kekwa pada Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 di Putrajaya.
TUANKU Hajah Haminah berkenan melihat pameran pelbagai bunga di Majlis Festival Floria Diraja Putrajaya 2016.
TUANKU Hajah Haminah berkenan melihat pameran pelbagai bunga di Majlis Festival Floria Diraja Putrajaya 2016.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat mencemar duli merasmikan edisi kesembilan Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2016 (FLORIA Diraja Putrajaya 2016) di Anjung Floria, Presint 3, semalam.

Tirai festival bertemakan ‘Keajaiban Dunia Floria’ dibuka kepada pengunjung selama sembilan hari mulai hari ini sehingga 4 Jun ini.

Pada majlis pelancaran itu, pihak penganjur iaitu Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) yang juga anak syarikat Perbadanan Putrajaya (PPj) turut mempersembahkan seekor kucing jantan jenis Birman yang bernama Marc Anthony kepada Tuanku Hajah Haminah sebagai cenderamata.

Sementara itu, Tuanku Hajah Haminah turut meluangkan masa setengah jam berangkat meninjau sekitar tapak festival berkenaan bersama kenamaan yang hadir.

Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki dan Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail bersama isteri, Datin Seri Muhaini Ahmad.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, penganjuran Floria Putrajaya 2016 membantu meletakkan Putrajaya sebagai salah satu destinasi dalam peta festival bunga-bungaan sedunia.

Beliau berkata, kementerian menerusi PPj kini giat mempromosikan FLORIA Diraja Putrajaya sebagai destinasi festival bunga-bungaan terkemuka di dunia.

“FLORIA Diraja Putrajaya juga pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Kecemerlangan Kreatif daripada Yayasan Pendidikan Rekaan Bunga-bungaan Antarabangsa, Taiwan selain memenangi Anugerah Kecemerlangan Kreatif di Pameran Bunga dan Taman Antarabangsa Melbourne.

“Selain itu, FLORIA Diraja Putrajaya juga diundang untuk menyertai festival bunga dan taman terbesar di Korea Selatan,” katanya.

Katanya, tarikan festival kali ini pastinya pameran bunga berwarna warni dan menarik termasuk 50 jenis bunga kekwa yang disusun dalam 83 lot taman rekaan agensi kerajaan, badan korporat, syarikat swasta, pereka taman tempatan, pelajar sekolah dan penuntut universiti.

Selain itu, festival kali ini juga menampilkan kelainan dengan membawa pengunjung dalam dunia imaginasi termasuk Hutan Mistik, Dunia Duyung dan Laman Manisan selain pameran taman luaran berkonsepkan Taman Diraja, Taman Muzika, Taman Pereka, Taman Kucing, Taman Kerajaan dan Korporat, Taman Sekolah dan Universiti dan Tea Party Garden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 7:21 AM