TEE (kanan) menandatangani plak perasmian pembukaan sambil diperhatikan Sheznie (dua dari kiri).
TEE (kanan) menandatangani plak perasmian pembukaan sambil diperhatikan Sheznie (dua dari kiri).
Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka

Habib Jewels Sdn Bhd menyasarkan pembukaan lebih 15 cawangan membabitkan tiga jenama iaitu Habib Jewels, Pandora dan Ice Watch tahun depan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran Kumpulan Habib Sheznie Merican berkata, lebih banyak cawangan membabitkan tiga jenama itu dirancang dibuka secara bersebelahan bagi memudahkan pelanggan.

“Ketika ini, kita sudah mempunyai dua cawangan dengan konsep itu masing-masing di Kuala Lumpur dan terbaru di Melaka.

“Kita berharap lebih banyak cawangan dengan konsep sama dibuka untuk kemudahan pelanggan,” katanya selepas pelancaran pembukaan pusat beli-belah The Shore di Jalan Bunga Raya di Melaka, di sini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Kerjaya Prospek Datuk Tee Eng Ho dan Pengarah Kementerian Pelancongan Melaka Datuk Lim Chow Beng.

Sheznie berkata, sehingga kini kumpulan itu mempunyai 68 cawangan iaitu Habib Jewels sebanyak 33 cawangan, Pandora (26) dan Ice Watch (sembilan) dengan terbaru tiga cawangan dibuka di pusat membeli-belah itu.

Katanya, kumpulan merancang untuk membuka antara tiga atau empat cawangan baru Habib Jewels pada tahun depan, lima atau enam cawangan Pandora serta lapan cawangan Ice Watch.

Sementara itu, Tee berkata, semua kedai di pusat mbeli-belah itu dijangka beroperasi sepenuhnya sebelum Tahun Baru Cina.

Katanya, ketika ini sebanyak 30 daripada 68 kedai sudah dibuka dengan 21 jenama adalah kali pertama dibawa masuk ke Melaka seperti La Bodega, Ice Watch, Pandora, Prestigio dan Lockdown.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:01 AM