Kuantan: Kumpulan Habib menjangkakan pasaran di pantai timur terus menyumbang 20 peratus daripada jumlah keuntungan keseluruhannya pada tahun ini walaupun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Meer Habib berkata, pelaksanaan GST dilihat tidak menjejaskan sasaran berkenaan berikutan pembukaan cawangan baru yang ke-33 di negeri ini selain cawangan sedia ada di Terengganu dan Kelantan.

Katanya, tahun lalu pihaknya memperoleh keuntungan RM500 juta yang mana 20 peratus daripada jumlah itu atau RM100 juta diperoleh daripada jualan pasaran di pantai timur.

Katanya, pada masa sama pihaknya terus menawarkan produk pada harga berpatutan selepas pelaksanaan GST kerana ia mempunyai saham tinggi bahan mentah untuk pengeluaran barang kemas.

“Bahan mentah seperti emas, berlian dan batu permata dibeli dalam dolar Amerika dan harga bahan mentah meningkat jika nilai ringgit kita jatuh.

“Dengan saham yang mencukupi kami percaya akan berjaya mengekalkan harga berpatutan meskipun nilai USD menunjukkan peningkatan 20 peratus berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan cawangan Habib, Pandora dan Ice-Watch di pusat beli belah East Coast Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Noordin dan Pengurus Habib Kuantan, Yusof Chan.

Dalam majlis itu, Meer juga melancarkan koleksi barang kemas terkini Habib dikenali sebagai ‘Bloom’, iaitu cincin berangkai yang dijual bermula dari RM150 setiap satu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 5:34 AM