KOLEKSI Oro Italia 916 menarik untuk penggemar setia barangan kemas dan perhiasan mewah. - FOTO Aziah Azmee
KOLEKSI Oro Italia 916 menarik untuk penggemar setia barangan kemas dan perhiasan mewah. - FOTO Aziah Azmee
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HABIB Group mengorak langkah mengadakan Pameran Jenama Antarabangsa dengan menampilkan pelbagai jenama naungannya bagi memberi pengalaman baharu kepada penggemar setia barangan kemas dan perhiasan mewah.

Pameran julung kali itu diadakan di ruang legar pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya dan menampilkan jenama seperti Hearts On Fire, Stephen Webster, Korloff, Pandora, Tous, Ice Watch serta jenama barangan kemas tempatan terkenal, Habib.

Pengerusi Eksekutif Habib Group, Datuk Sri Meer Habib berkata, pihaknya mengambil langkah itu sebagai satu usaha untuk mengembangkan potensi perniagaan yang lebih meluas dalam industri barang kemas dan fesyen.

Ini kerana kata beliau, sekarang adalah waktu terbaik untuk membeli emas dan ia bukan sahaja untuk perhiasan malah sesuai dijadikan sebagai pelaburan kerana logam berharga itu kalis inflasi.

"Selain itu, Malaysia juga antara lokasi terbaik untuk membeli emas kerana berbanding negara lain, kita tidak mengenakan sebarang cukai untuk pembelian emas.

"Jadi, rebut peluang keemasan yang kami sediakan dengan mendapatkan pelbagai rekaan barangan kemas, perhiasan mewah, barangan kulit, minyak wangi serta aksesori terkini untuk lelaki dan wanita di Pameran Jenama Antarabangsa Habib Group yang diadakan sehingga 7 Ogos ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran berkenaan.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Habib Group, Datin Seri Zarida Noordin.

Sejak mula beroperasi pada tahun 1958, jenama melalui banyak perubahan untuk menjadi sebuah jenama yang terkenal dengan menghasilkan produk berkelas dunia.

MEER dan Zarida melancarkan Pameran Jenama Antarabangsa Habib Group di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya. - FOTO Aziah Azmee
MEER dan Zarida melancarkan Pameran Jenama Antarabangsa Habib Group di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya. - FOTO Aziah Azmee

Pameran itu juga secara tidak langsung menyaksikan pencapaiannya sebagai sebuah jenama tempatan yang setanding dengan label antarabangsa.

Antara koleksi yang ditawarkan Habib termasuk barangan kemas bertatahkan berlian, batu permata, mutiara, emas 916, Oro Italia 916 dan emas 999 manakala untuk pelaburan, ia menyediakan jongkong emas serta syiling wafer emas.

Jenama tempatan itu mementingkan sentuhan warisan dalam setiap rekaan dan koleksi yang ditampilkan memenuhi cita rasa setiap lapisan generasi.

Oro Italia 916 membawa kepakaran dan teknologi dari Itali khusus untuk jenama itu di Malaysia.

Koleksi itu memberi kelainan kepada pencinta emas menerusi pelbagai warna termasuklah emas kuning, ros dan putih.

Rekaannya mendapat sentuhan kemasan yang unik pada setiap satunya seperti 'high-polish', potongan berlian dan juga 'Cataphoresis Lacquer.'

Hearts On Fire pula adalah jenama antarabangsa dari Amerika Syarikat yang pertama untuk bernaung di bawah kumpulan itu.

Ia terkenal dengan slogan 'Potongan Berlian Paling Sempurna Di Dunia,' kerana setiap berlian yang dihasilkan mempunyai kilauan memukau menerusi cara potongan menggunakan teknik khas.

Manakala Korloff adalah jenama dari Paris, Perancis yang berkolaborasi secara eksklusif sejak awal tahun 2022 dan ia terkenal dengan lagenda batu berlian hitam.

ICE Watch melengkapkan gaya trendy. - FOTO Aziah Azmee
ICE Watch melengkapkan gaya trendy. - FOTO Aziah Azmee

SYILING wafer emas koleksi terhad sempena bulan kemerdekaan. - FOTO Aziah Azmee
SYILING wafer emas koleksi terhad sempena bulan kemerdekaan. - FOTO Aziah Azmee

Jenama itu Ia menawarkan pelbagai seleksi barangan kemas, jam tangan mewah, wangian eksklusif, 'cufflink' dan pen yang premium.

Stephen Webster pula adalah jenama yang menawarkan barang kemas kontemporari dari London, England dengan cita rasa pertukangan tradisional British yang unggul dan disegani.

Koleksi jenama itu dihasilkan dengan sentuhan peribadi perekanya, Stephen Webster, menerusi pendekatan yang unik.

Bagi penggemar barangan kemas moden, jenama Pandora sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dan kini ia memiliki lebih 30 butik di seluruh negara.

Jenama yang berasal dari Denmark itu menampilkan koleksi barangan kemas dan charm menarik yang melambangkan ekspresi, jalan penceritaan tersendiri serta meraikan peristiwa penting dalam kehidupan.

Jenama popular dari Sepanyol, Tous pula sudah bertapak di lebih dari 50 negara dan mempunyai 700 butik serata dunia.

Selain menawarkan barangan aksesori, jenama itu turut membawa barisan produk seperti minyak wangi, beg kulit dan juga skarf yang sememangnya digemari golongan muda.

Bagi penggemar jam tangan trendy, Ice Watch menampilkan pelbagai rekaan menarik yang ikonik dengan warna terang.

Koleksi jam tangan jenama dari Belgium itu untuk lelaki dan wanita, kanak-kanak serta remaja.

Sementara itu, sepanjang pameran berlangsung, pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM10,000 dengan menyertai peraduan media sosial yang diadakan.

Apa yang istimewanya, pengunjung juga boleh mendapatkan syiling wafer emas koleksi terhad sempena bulan kemerdekaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 7:00 AM