YASHEEDA (kanan) bersama Pengarah Time Zone, Mirzan Meer (kiri) dan penyanyi Korea Selatan, Han Byul pada pameran berkenaan.
YASHEEDA (kanan) bersama Pengarah Time Zone, Mirzan Meer (kiri) dan penyanyi Korea Selatan, Han Byul pada pameran berkenaan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


BERGEMERLAPAN dan memukau mata. Itu perkataan paling tepat menggambarkan kemeriahan dan kerancakan Pameran Jenama Barang Kemas Antarabangsa Habib yang berlangsung sehingga 3 November ini.

Menariknya, pameran itu menghimpunkan beberapa jenama barangan kemas antarabangsa di bawah naungan Kumpulan Habib iaitu Hearts On Fire dari Amerika Syarikat, Stephen Webster (Great Britain), Pandora (Denmark), Les Georgettes (Perancis) dan Tous (Sepanyol).

Selain itu, menerusi butik jam tangannya Time Zone, ia turut menyediakan jenama eksklusif antarabangsa seperti Ice Watch, William L. 1985, Techne Instruments, Greyhours, Corniche, Bravur dan Marathon Watch.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Habib, Yasheeda Yashaiya berkata, tujuan pameran dan penjualan itu untuk memberikan sesuatu yang istimewa kepada pelanggannya dari segi pilihan barangan kemas, aksesori, jam tangan serta tas tangan bertaraf antarabangsa boleh dimiliki pada harga mampu milik.

Katanya, jenama antarabangsa yang dibawa syarikat itu didatangkan dengan perincian, kualiti dan kemasan yang menarik, unik dan memukau pandangan.

“Dahulu, pelanggan kami hanya boleh membeli barangan kemas seperti emas, berlian dan batu permata, tapi kini syarikat sudah berkembang ke persada antarabangsa dan pelanggan setia ada lebih pilihan.

“Selain jenama antarabangsa ini, Kumpulan Habib juga mempunyai butik hotelnya tersendiri di Kota Bharu, Kelantan, kedai emas Chantique yang menjual barangan kemas antik dan pajak gadai Islam, Ar Rahnu Express,” katanya.

Sempena Oktober ini, antara bulan sibuk untuk mereka yang membuat persiapan kelengkapan perkahwinan, pastinya cincin kahwin dan set hantaran perkahwinan akan menjadi sesuatu yang dicari oleh bakal pengantin.

Istimewa hanya di pameran ini, koleksi set perkahwinan pada harga mampu milik ditawarkan dengan set berlian perkahwinan serendah RM3,000 merangkumi cincin, loket dan rantai dan rantai tangan.

Koleksi cincin kahwin yang pelbagai untuk acara merisik, pertunangan dan perkahwinan didatangkan dalam pelbagai rekaan terbaru dengan harga serendah RM899.

Istimewa untuk bakal pengantin, rantai tangan yang bertatahkan berlian satu karat ditawarkan pada harga RM799, sesuai dijadikan untuk upacara batal air sembahyang.

Pelanggan boleh mengunjungi cawangannya di pusat beli-belah The Curve, Centre Court, Mutiara Damansara, Petaling Jaya bagi menikmati koleksi jenama antarabangsa dari kumpulan Habib dengan harga dan diskaun hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:00 AM