Agensi

Poso, Indonesia: Kumpulan militan Mujahidin Indonesia Timur (MIT) pimpinan Santoso semakin lemah selepas seorang demi seorang pengikutnya menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Terbaru seorang lagi pengikut Santoso yang dikenali sebagai Irfan Maulana atau Akil keluar dari hutan untuk menyerah diri.

Irfan menyerah diri kepada pihak berkuasa di Dusun Tamanjeka di Poso Pesisir, Sulawesi Tengah pada Jumaat lalu.

Sumber berkata, Irfan menyerah diri selepas bertemu dengan isteri dan mentuanya yang menetap di Dusun Tamanjeka.

“Selepas waktu maghrib beberapa anggota polis datang ke rumah mentua Irfan untuk menjemputnya.

“Irfan memilih untuk menyerah diri pada waktu malam kerana tidak mahu menarik perhatian penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, Irfan kemudian dibawa ke markas tentera dan polis di Poso untuk soal siasat.

Tentera dan polis Indonesia melancarkan Operasi Tinombala untuk menangkap Santoso dan pengikutnya yang bersembunyi di kawasan hutan di Poso.

Anggota kumpulan itu dipercayai terputus bekalan makanan selepas mereka dikepung pihak berkuasa.

Pada 15 April lalu, dua lagi pengikut Santoso menyerah diri selepas dikesan mencari makanan di sebuah kawasan kampung.

MIT kini berkekuatan 26 orang yang terdiri daripada 23 lelaki dan tiga perempuan.

Selain ditangkap dan menyerah diri, ramai anggota MIT berjaya dibunuh pihak berkuasa dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:37 AM