GAMBAR hiasan menunjukkan anggota tentera Indonesia melancarkan usaha menjejaki Santoso di Poso, Sulawesi Tengah.
GAMBAR hiasan menunjukkan anggota tentera Indonesia melancarkan usaha menjejaki Santoso di Poso, Sulawesi Tengah.

Poso: Dua anggota kumpulan militan Mujahidin Indonesia Timur (MIT) yang diketuai lelaki paling dikehendaki kerajaan Indonesia terbunuh dalam tembak-menembak dengan pasukan keselamatan di daerah Poso Pesisir Selatan, Sulawesi Tengah.

Jurucukap tentera, Hari Suprapto berkata, mayat kedua-duanya ditemui dua jam selepas pertempuran.

Dalam pada itu, Ketua Polis Sulawesi Tengah, Brigadier Jeneral Rudy Sufahriadi berkata, kedua-dua militan berkenaan dipercayai bernama Yazid alias Taufik yang berasal dari Pulau Jawa dan Firma alias Aco dari Morowali Utara.

Walaupun proses pengecaman masih dilakukan oleh tentera dan polis, Rudy bagaimanapun berkata, dia yakin kedua-duanya adalah antara 29 orang yang diburu dalam kes keganasan di Poso.

Kerajaan Indonesia melancarkan Operasi Tinombala pada 10 Januari lalu dalam usaha menangkap atau membunuh Santoso atau Abu Wardah, yang dipercayai bertanggungjawab dalam beberapa keganasan di Sulawesi.

Santoso tahun lalu berikrar taat setia kepada kumpulan pengganas Daish.

Polis percaya, pengikut Santoso yang kini berjumlah kurang daripada 25 orang, berdepan dengan masalah untuk melarikan diri dari hutan di Poso selepas dikepung sejak beberapa bulan lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:01 PM