PASUKAN keselamatan memeriksa identiti penduduk di Poso ketika mengadakan sekatan jalan raya untuk menjejaki saki-baki pengikut Santoso.
PASUKAN keselamatan memeriksa identiti penduduk di Poso ketika mengadakan sekatan jalan raya untuk menjejaki saki-baki pengikut Santoso.
Agensi

Poso: Pihak berkuasa keselamatan Indonesia semalam menggesa 19 saki-baki penyokong Santoso yang masih di buru di kawasan hutan di sini supaya menyerah diri secara sukarela.

Ketua operasi memburu anggota Mujahidin Indonesia Timur (MIT), Leo Bona Lubis berkata, gesaan itu dibuat bagi mengelak berlakunya kematian seterusnya selepas pasukan keselamatan berjaya membunuh Santoso, lelaki yang sebelum ini menjadi orang paling dikehendaki di negara itu, Isnin lalu.

Leo turut berjanji mereka akan diberi layanan baik mengikut kesesuaian undang-undang jika menyerahkan diri.

Dia bagaimanapun berkata, pasukan gabungan tentera dan polis Indonesia masih berada di lokasi pergunungan Poso Pesisir dalam usaha menjejaki 19 pengikut Santoso itu.

“Kematian pemimpin mereka tidak bermakna kami menghentikan gerakan memburu saki-baki pengikutnya. Malah, kami akan berusaha menjejaki mereka secara berterusan sehingga mereka menyerah diri atau ditembak mati,” katanya.

Leo berkata, gerakan memburu 19 orang itu kini membabitkan 16 kumpulan kecil polis dan tentera.

“Ia tertumpu di kawasan hutan,” kata Leo.

Dalam pada itu, katanya, keluarga Santoso dan mengikutnya diberi layanan baik oleh pihak berkuasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 7:31 AM