KEADAAN Muhammad yang terlalu kurus ketika ditangkap polis.
KEADAAN Muhammad yang terlalu kurus ketika ditangkap polis.
Agensi

Poso: Seorang anggota Mujahidin Indonesia Timur (MIT) bersedia mendedahkan lokasi ketua kumpulan itu, Santoso selepas dia ditangkap dalam keadaan kebuluran dan sedang mencari makanan di sebuah kampung di sini.

Muhammad Sulaeman dan seorang lagi rakannya, Ibadurrohman ditangkap ketika merayau-rayau di kampung Padalembara di Poso Pesisir Selatan pada Jumaat lalu.

Orang awam menghubungi pihak berkuasa selepas menemui dua lelaki asing meminta makanan daripada penduduk kampung.

“Tuan saya lapar. Tolong bagi saya makanan dan saya akan dedahkan semua maklumat yang saya ada mengenai Santoso,” kata Muhammad kepada polis.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai berusia bawah 20 tahun dan ditangkap dalam keadaan kebuluran serta kurus akibat kekurangan makanan.

Mereka disyaki dua kanak-kanak yang pernah dilaporkan mendapat latihan di satu kawasan hutan di Poso lokasi MIT bersembunyi.

Keadaan kedua-dua remaja itu yang kebuluran mengesahkan laporan perisikan bahawa anggota MIT kini terputus bekalan makanan selepas dikepung anggota keselamatan.

Pihak berkuasa Indonesia melancarkan Operasi Tinombala bagi memburu Santoso dan menghapuskan saki-baki kumpulan berkenaan.

Dalam operasi berkenaan pihak berkuasa berjaya menahan dan membunuh beberapa anggota MIT termasuk lelaki warga asing.

Ketua polis Sulawesi Tengah, Rudy Sufahriadi berkata, pihak berkuasa merampas bom buatan sendiri, parang, lampu suluh dan beberapa barang bukti yang menunjukkan dua remaja itu adalah anggota MIT.

Katanya, dua remaja itu tidak melawan ketika ditangkap dan mereka dibawa ke ibu pejabat polis untuk soal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:05 AM