Keadaan gerai yang musnah dihempap pokok dan mangsa dikeluarkan orang awam sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Keadaan gerai yang musnah dihempap pokok dan mangsa dikeluarkan orang awam sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Wanita berusia 53 tahun maut selepas dihempap pokok tumbang di gerainya di Teluk Senangin, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Normadiah Adrus dikatakan mengemas gerainya sebelum pokok tumbang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis Abd Latif Ahmad Nawawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.04 tengah hari sebelum sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, pokok dianggarkan setinggi lebih 15 meter itu menghempap tiga gerai termasuk gerai mangsa dan kereta.

"Ketika tiba kami dapati mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Bomba turut melakukan kerja pembersihan di sekitar kawasan pantai berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 3:19 PM