Anggota bomba menjalankan operasi pencarian kanak-kanak berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang di Pantai Teluk Senangin, petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA.
Anggota bomba menjalankan operasi pencarian kanak-kanak berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang di Pantai Teluk Senangin, petang tadi. FOTO IHSAN BOMBA.
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Pantai Teluk Senangin, di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.19 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa sudah membuatkan laporan polis selepas menyedari kanak-kanak berkenaan hilang kira-kira jam 1 petang.

"Operasi pencarian mangsa dilakukan di sekitar kawasan pantai.

"Pusat kawalan operasi bomba (PKOB) juga diaktifkan di lokasi.

"Berdasarkan maklumat daripada pengunjung, mereka tak melihat kanak-kanak tenggelam atau lemas, tetapi kita turut ambil kira sebarang kemungkinan mangsa berjalan ke tepi hutan dan sebagainya," katanya.

Sabarodzi berkata, operasi pencarian dihentikan pada 6.30 petang tadi dan akan bersambung pada 8 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 9:27 PM