LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Manjung: Lelaki yang mati lemas selepas dipercayai cuba menahan kereta miliknya daripada menggelongsor ke laut di Jalan Teluk Senangin, Teluk Senangin, Pantai Remis dekat Manjung, malam tadi dikatakan pergi ke tempat kejadian untuk memancing bersama rakannya.

Dalam kejadian jam 11.34 malam itu, mangsa, Muhammad Hafiz Ramli, 31, maut di lokasi dipercayai akibat lemas susulan terperosok bawah kereta selepas cuba menahan kenderaan itu daripada menggelongsor.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, semasa kejadian, mangsa bersama seorang rakannya datang ke kawasan pantai untuk memancing.

Katanya, mangsa dan rakannya datang ke situ dengan menaiki Proton Persona sebelum meletakkan kenderaan itu di kawasan berbukit menghala pantai.

Beliau berkata, mangsa meletakkan kenderaan itu dalam keadaan enjin tidak dimatikan sebelum keluar untuk meninjau kesesuaian lokasi memancing.

"Tiba-tiba rakan terdengar suara mangsa menjerit meminta tolong kerana kenderaan itu secara tiba-tiba menggelongsor ke kawasan pantai. Mangsa ketika itu dikatakan berada di hadapan kenderaannya bagi menghalang kereta daripada terus bergerak.

"Rakan memberi bantuan namun mangsa terjatuh di bahagian bawah kenderaannya yang sudah ditenggelami air.

"Rakan yang dibantu oleh orang awam berjaya mengeluarkan mangsa dari bawah kenderaan itu kira-kira 20 minit kemudian sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Seri Manjung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Omar berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dengan mendapati punca kematian adalah lemas.

Katanya, siasatan polis di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan justeru kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 3:50 PM