POKOK yang menghempap gerai kabin Normala dan Ghazali menyebabkan mereka kerugian hampir RM15,000 di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
POKOK yang menghempap gerai kabin Normala dan Ghazali menyebabkan mereka kerugian hampir RM15,000 di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Masjid Tanah: Pantang maut sebelum ajal apabila seorang peniaga wanita terselamat walaupun gerai jualannya ranap ditimpa pokok tumbang.

Dalam kejadian jam 9.30 malam tadi, mangsa, Normala Musa, 41, sempat keluar dari gerainya terletak di Taman Masjid Tanah Ria, di sini.

Mangsa berkata, ketika kejadian dia sedang memasak nasi goreng Pattaya dipesan seorang pelanggan.

"Saya sempat terdengar bunyi ranting pokok jatuh ke atas bumbung gerai. Mulanya saya sangkakan monyet mencakar bumbung kerana berlaku gangguan haiwan liar itu sejak dua hari lalu.

"Saya dan anak, Mohd Nizam Ghazali, 22, kemudian keluar untuk meninjau keadaan bumbung sebelum mendapati ranting pokok jatuh satu persatu menimpa bumbung," katanya tadi.

Dia berkata, pokok berhampiran gerainya kemudian didapati semakin condong sebelum menghempap keseluruhan gerai yang disewanya daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Katanya, keseluruhan akar pokok itu tercabut manakala pelanggan di gerai sempat lari menyelamatkan diri.

"Alhamdulillah, Allah SWT menyelamatkan saya yang sedang sibuk memasak untuk pelanggan," katanya.

Meskipun mengalami kerugian hampir RM15,000 berikutan kemusnahan dapur, periuk, kuali serta peralatan lain namun dia bersyukur terselamat.

Sementara itu, petugas MPAG didapati sibuk memotong dahan dan batang pokok bagi membersihkan kawasan berkenaan pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 1:17 PM