Tiga anggota bomba, enam anggota polis dan 25 orang awam menjalankan operasi mencari Muhammad Faris Irfan. FOTO IHSAN FB NORHASLINDA ZAKARIA
Tiga anggota bomba, enam anggota polis dan 25 orang awam menjalankan operasi mencari Muhammad Faris Irfan. FOTO IHSAN FB NORHASLINDA ZAKARIA
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Operasi pencarian kanak-kanak berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang di Pantai Teluk Senangin, di sini, di sambung pada 10.45 malam tadi setelah pihak bomba menerima maklumat mengenai kelibat mangsa di kawasan chalet berdekatan pantai berkenaan.

Terdahulu, operasi pencarian Muhammad Faris Irfan, 10, pada asalnya ditangguhkan 6.30 petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, orang awam memaklumkan terlihat mangsa yang memakai seluar hitam berjalur putih dan baju berkolar warna merah jambu berada di sekitar kawasan chalet pada 3.30 petang semalam, dalam keadaan terpinga-pinga dan takut.

"Jarak chalet itu dari lokasi asal pencarian adalah lebih kurang lima kilometer (km).

"Operasi pencarian pada malam tadi membabitkan dua kumpulan terdiri daripada tiga anggota bomba, enam anggota polis dan 25 orang awam. Pencarian dibuat di sekitar kawasan chalet dan kampung.

"Radius pencarian meliputi 10 km, tetapi tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan. Operasi ditangguhkan pada jam 12.45 tengah malam," katanya dalam kenyataan, awal pagi tadi.

Mengulas lanjut operasi pencarian yang dilakukan petang semalam, Sabarodzi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa mangsa disyaki hilang ketika bermain di gigi air dan keluarga mangsa sudah membuat pencarian awal tetapi tidak berjaya menemukan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 8:14 AM