KEADAAN gerai Medan Kraftangan Taman Botanikal, Ayer Keroh, yang rosak akibat ribut. Ihsan MPHTJ.
KEADAAN gerai Medan Kraftangan Taman Botanikal, Ayer Keroh, yang rosak akibat ribut. Ihsan MPHTJ.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Zoo Melaka antara 16 kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang terjejas akibat kejadian ribut, hari ini.

Yang Dipertuanya Datin Sapiah Haron berkata, kawasan berkenaan terjejas akibat pokok tumbang.

"Turut terkesan Zoo Melaka, jadi operasi zoo akan ditutup sehari esok bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dapat dilakukan.

"Taman Botanikal Ayer Keroh juga terkesan dan akan ditutup sehari esok. Notis penutupan akan diletakkan di pintu masuk dan saya berharap pengunjung mematuhi arahan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, turut terjejas, enam unit gerai di Medan Kraftangan Taman Botanikal apabila sengkuap hadapan premis itu runtuh.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kita sudah mengarahkan peniaga yang terbabit untuk mengemas barang niaga kerana kerja baik pulih akan dilakukan esok.

"Kami turut dimaklumkan banyak kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang, jadi pemilik diminta membuat laporan polis dan diserahkan kepada MPHTJ untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, susulan kejadian ribut berkenaan, pihaknya menerima tiga panggilan kecemasan membabitkan kejadian pokok tumbang.

"Antara balai terbabit adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dan BBP Ayer Keroh bagi membantu kerja memotong dan membersihkan pokok tumbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 10:53 PM