Apabila usia anda semakin meningkat dan mencecah usia 40 tahun, anda akan menjadi lebih serasi dengan kebanyakan individu dalam hidup anda. FOTO Arkib NSTP
Apabila usia anda semakin meningkat dan mencecah usia 40 tahun, anda akan menjadi lebih serasi dengan kebanyakan individu dalam hidup anda. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Masyarakat Melayu dan peminat filem Melayu klasik khususnya, pasti tidak dapat melupakan babak lucu Pak Maun yang dilakonkan Allahyarham Datuk Mahmud June membaca syair dan berhibur pada malam pesta muda-mudi dalam filem Nasib Do Re Mi, arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1966.

Saya pasti ramai dalam kalangan penonton yang pernah menonton filem berkenaan tidak kering gusi melihat telatah Mahmud June melakonkan babak ikonik itu.

Bagi saya watak Pak Maun lakonan Mahmud June adalah antara simbol kekuatan di dalam filem Nasib Do Re Mi.

Kesimpulannya, saya menganggap babak ini dicipta oleh P Ramlee dalam masa yang singkat dan ideanya dicetuskan oleh Mahmood Jun sendiri.

Watak Pak Maun diambil sempena nama Mahmud June. Inilah antara kehebatan P Ramlee yang berjaya mengkomedikan pelakon crook terhebat dalam sejarah filem Melayu klasik. Watak itu diingati hingga kini.

Penulisan kali ini bukanlah mengupas isi cerita filem itu atau watak Pak Maun itu sendiri, tapi lebih kepada orang yang sudah berumur juga perlu masa dan 'me time' sendiri mengikut gaya dan usia mereka.

Konsep 'me time' bukanlah hanya untuk golongan muda dan remaja. Selain daripada beramal untuk bekalan akhirat, mereka perlu mencari erti kebahagiaan dengan cara sendiri tanpa menyemakkan kepala memikirkan orang lain selain mengusirkan segala masalah atas faktor usia dan kesihatan.

Pertanyaan yang sering dilontarkan 'Pak Maun moden' ialah bagaimana sebenarnya kebahagiaan itu boleh dikecapi atau dinikmati? Apa yang dapat membuat kita merasa bahagia?

Menurut pakar, bukan penulis yang kata, kebahagiaan itu sudah ada di dalam diri kita sebagai manusia sejak lahir.

Jadi, untuk merasa bahagia, sejatinya tidak mencampur-aduk dengan luar kita. Cukup menerima, mengenali dan menghargai diri sendiri.

Demikian pula yang dikatakan Hellen Keller: "Happiness cannot come from without. It must come from within. (Kebahagiaan tidak datang dari luar diri. Ia berasal dari dalam diri).

Banyak orang mencongak dia akan bahagia jika mencapai apa yang mereka inginkan sebagai contoh mempunyai wang yang banyak, kereta mewah, rumah tersergam indah, kedudukan yang tinggi, pangkat.

Tanya diri kita, "AKU BAHAGIA KALAU..." Di awal usia 40-an, 50-an, 60-an dan 70-an, berlainan cara dan gayanya untuk disesuaikan mengikut masa dan persekitaran yang ada, cuma apa perlu dibuat dan dilakukan mengikut gaya dan cita rasa kita sendiri tanpa mengendahkan orang lain kerana hanya kita merasai dan menikmatinya pada masa itu.

Berikut beberapa tip mungkin sesuai digunakan oleh 'Pak Maun moden', jangan pula muda-mudi dan masyarakat setempat menggelarkan orang tua tak sedar diri dan sudah hendak mati rajinlah mencari jalan ke masjid sahaja, ke masjid pun pergi, tapi me time pun perlu untuk kebaikan dan ketenangan diri. Antaranya:

• Tidak mahu marah-marah

Jika dahulu pantang ada individu yang melakukan kesilapan, pasti anda akan menjadi marah. Tetapi kini, ternyata penuaan mungkin akan mengubah diri anda.

Anda tidak akan lagi menjadi seorang individu lelaki mahupun wanita tua yang perengus (grumpy). Pada usia emas, ketika berusia sekurang-kurangnya 60 tahun, anda akan menjadi individu lebih disenangi dan akan cenderung untuk kurang sifat amarah lagi.

• Hubungan baik

Apabila usia anda semakin meningkat dan mencecah usia 40 tahun, anda akan menjadi lebih serasi dengan kebanyakan individu dalam hidup anda. Anda akan lebih memikirkan mengenai apa yang individu sekeliling anda rasa dan fikir untuk menjadikan kehidupan individu tersayang lebih mudah.

• Perubahan deria

Semakin meningkat usia anda, pengambilan ubatan, masalah kesihatan seperti selesema, penyakit gusi dan penyakit lain serta alahan yang dialami mungkin akan mengubah deria rasa hidung dan bau anda.

Jika anda berasa memerlukan sesuatu untuk menaikkan deria anda, cubalah beberapa herba seperti rosemary dan thyme, bawang putih, bawang, lada atau mustard serta minyak zaitun. Tetapi, pastikan anda tidak mengambil garam secara berlebihan nanti penyakit lain pula yang timbul.

• Perubahan hormon

Biasalah, pada usia emas, rambut di kepala akan semakin menipis. Tetapi, ia akan muncul pada tempat pelik seperti pada bahagian hidung atau telinga. Manakala, bagi wanita, pertambahan usia pula akan menyebabkan munculnya rambut halus pada bahagian dagu. Jangan risau, ini semua disebabkan perubahan hormon.

• Bangun awal pagi

Individu yang berada dalam peringkat usia emas ini mudah bangun pada waktu pagi.

Ia adalah antara kelebihan penuaan kepada badan. Pola kitaran waktu tidur akan mengalami perubahan selari dengan peningkatan usia. Biasanya pada usia yang semakin meningkat ini, anda akan tidur awal kerana tiada lagi aktiviti melepak sambil minum bersama kawan atau menonton wayang lewat malam.

• Selamat tinggal migrain

Bagi kebanyakan individu mengalami migrain sebaik melangkah ke alam penuaan, migrain yang dialami mungkin hilang. Hanya 10 peratus wanita dan lima peratus lelaki berusia 65 tahun ke atas masih mempunyai migrain.

Namun, berita baiknya, migrain dialami tidak akan menyebabkan anda sakit kepala, cuma membuatkan anda berdepan isu gangguan visual atau deria yang tidak menyebabkan kesakitan.

Penulis adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 7:00 AM