MOHD Bakke (tengah) berucap pada sidang media.
MOHD Bakke (tengah) berucap pada sidang media.

Kuala Lumpur: Sime Darby Berhad (Sime Darby) merancang untuk menyenaraikan bahagian permotorannya, Sime Darby Motors Sdn Bhd menjelang Julai atau Ogos tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, pihaknya kini giat menjalankan proses yang diperlukan untuk proses penyenaraian termasuk pelantikan bank dan akauntan bagi menilai pasaran.

“Buat masa ini, kami menjangkakan penyenaraian mungkin dilakukan pada Julai atau Ogos tahun depan namun, jika pasaran menunjukkan perkembangan baik ia mungkin dilakukan lebih awal,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan suku pertama berakhir 30 September 2014, semalam.

Menurutnya, pihaknya sedang mengambil langkah untuk memenuhi semua keperluan untuk persediaan tawaran awam permulaan (IPO).

Untuk suku pertama tahun ini yang berakhir 30 September 2014, keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) dicatatkan sebanyak RM110 juta, meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perkembangan baik ini dipacu oleh pertumbuhan positif untuk operasi di Australia dan New Zealand.

Operasi BMW di Vietnam mencatatkan perkembangan baik namun, operasi China/Hong Kong dan Malaysia menunjukkan trend sebaliknya berikutan persaingan sengit dalam segmen kenderaan mewah dan syarat baru pembiayaan kenderaan di Malaysia.

Sime Darby mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM500.7 juta untuk suku pertama 2014/2015, meningkat dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:10 AM