MOHD Bakke (kiri) and Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Tong Poh Keow pada pengumuman prestasi kewangan kumpulan, semalam.
MOHD Bakke (kiri) and Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Tong Poh Keow pada pengumuman prestasi kewangan kumpulan, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Sime Darby Berhad (Sime Darby) tidak bercadang memberhentikan kakitangannya khususnya di Malaysia kerana tidak ada keperluan berbuat demikian walaupun berdepan keputusan kewangan kurang memberangsangkan untuk suku pertama 2015/2016.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, pihaknya pernah mengambil tindakan berkenaan sejak dua tahun lalu namun, ia hanya memberi kesan kepada operasi di China.

“Dua tahun lalu, kami ada mengambil keputusan memberhentikan pekerja tetapi, ia tidak membabitkan kakitangan di Malaysia. Walaupun keputusan kewangan kali ini kurang memberangsangkan, kami tidak berhasrat berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, Sime Darby mempunyai kira-kira 120,000 kakitangan di seluruh dunia dan lebih 78,000 daripadanya adalah pekerja di sektor perladangan.

“Kami memerlukan pekerja ini untuk memastikan operasi di ladang berjalan lancar kerana ia membabitkan pelbagai proses daripada penanaman benih hinggalah kepada pengeluaran hasil tanaman.

“Maka, kami berasakan tidak ada keperluan untuk memberhentikan kakitangan walaupun berdepan prestasi kewangan kurang positif tahun ini,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan kumpulan di sini, semalam.

Bagi tempoh suku pertama 2015/2016 yang berakhir 30 September 2015, Sime Darby mencatatkan penurunan 34 peratus bagi keuntungan bersih kepada RM328.4 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Segmen tenaga dan utiliti mencatatkan kemerosotan ketara dengan penurunan sebanyak 95 peratus berikutan kesan daripada kadar tukaran wang asing. Ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan faedah sebanyak RM1.1 juta berbanding RM21.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Namun, kami meletakkan sasaran untuk mencapai perolehan bersih sehingga RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:52 AM