MOHD Bakke (tengah) dan Mohamed Khaled (dua dari kiri) pada majlis pelancaran pembangunan Rumah Mampu Milik Johor, semalam.
MOHD Bakke (tengah) dan Mohamed Khaled (dua dari kiri) pada majlis pelancaran pembangunan Rumah Mampu Milik Johor, semalam.

Johor Bahru: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby) merancang membina 733 unit rumah mampu milik dan 171 unit lot kedai kos sederhana dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM210 juta di Sime Darby Business Park, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, projek itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa dengan fasa pertama membabitkan 184 unit rumah mampu milik dan 108 lot kedai sudah dimulakan.

“Sime Darby Property akan meneruskan pembinaan fasa selanjutnya iaitu 549 unit rumah mampu milik dan 63 unit kedai kos sederhana menjelang 2018, bergantung kepada permintaan pasaran,” katanya pada pelancaran projek itu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pasir Gudang, semalam.

Beliau berkata, projek berkenaan sebahagian daripada program Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), projek pembangunan rumah mampu milik di bawah Dasar Perumahan Rakyat Johor.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, di bawah RMMJ, sebanyak 37,000 unit kediaman bakal didirikan menjelang 2018 berbanding sasaran awal iaitu 28,000 memandangkan permintaan yang semakin meningkat.

“Pihak berkuasa tempatan sedang memburu beberapa pemaju untuk memastikan mereka memenuhi syarat kerajaan negeri supaya membina rumah mampu milik.

“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk membekukan segala pembinaan sekiranya pemaju-pemaju ini gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 90,000 pendaftaran memohon rumah mampu milik telah diterima negeri itu dan angka berkenaan dijangka meningkat.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:02 AM