WSZOLEK (kiri) dicabar pemain Finland Joel Pohjanpalo.
WSZOLEK (kiri) dicabar pemain Finland Joel Pohjanpalo.

Paris: Russia, Poland dan Austria bertambah yakin dengan persiapan menjelang Euro 2016 di Perancis apabila masing-masing meraih kemenangan pada aksi persahabatan awal pagi semalam.

Russia yang akan menentang England pada perlawanan pembukaan Euro, menang bergaya 3-0 ke atas Lithuania di Moscow hasil jaringan Fedor Smolov, Aleksandr Golovin dan Denis Glushakov.

Poland diundi bersama juara dunia Jerman pula mendapat semangat luar biasa selepas membelasah Finland 5-0 di Wroclaw.

Pemain tengah Rennes Kamil Grosicki dan pemain sayap Verona Pawel Wszolek masing-masing menjaringkan dua gol selain satu gol jaringan Filip Starzynski ketika penyerang Robert Lewandowski diturunkan pada 27 minit terakhir.

Austria yang pernah menjadi penganjur bersama Euro 2008 dengan Switzerland dan menempah tiket ke edisi kali ini selepas hanya kehilangan dua mata pada kempen kelayakan dalam kumpulan yang turut disertai Sweden dan Russia.

Di Vienna, skuad kendalian Marcel Koller mengatasi Albania yang kali pertama menyertai kejohanan utama 2-1 hasil jaringan awal Marc Janko dan Martin Harnik dengan Ermir Lenjani turut menjaringkan gol buat pelawat.

Hungary yang juga akan ke Perancis selepas 30 tahun memerlukan jaringan Balazs Dzsudzsak 11 minit sebelum tamat di Budapest untuk seri 1-1 dengan Croatia yang mendahului pada babak pertama menerusi Mario Mandzukic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 10:27 AM