LEWANDOWSKI (tengah) sugul gagal bolos gawang Arsenal.
LEWANDOWSKI (tengah) sugul gagal bolos gawang Arsenal.
PETR Cech.
PETR Cech.

Robert Lewandowski lebih bersemangat untuk menjaringkan gol apabila Bayern Munich berdepan Arsenal pada perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara kerana belum pernah membolosi gawang yang dikawal ketat Petr Cech.

Penjaga gol Republik Czech berusia 33 tahun itu yang mengecewakan Lewandowski dengan dua tangkapan hebat pada separuh masa kedua, sewaktu Arsenal menewaskan Bayern 2-0 dalam perlawanan Kumpulan F Selasa lalu, menewaskan Lewandowski dalam empat perlawanan, tiga kali dalam perlawanan antarabangsa dan sekali lagi bersama Arsenal.

“Saya belum pernah menjaringkan gol ke atasnya,” kata penyerang Poland, Lewandowski yang menjaringkan 22 gol dalam 16 perlawanan terakhir bersama kelab dan negaranya.

“Tiada satu gol pun. Biarpun ketika berdepan dengannya sewaktu Poland menentang Republik Czech di pentas antarabangsa. Ia antara perkara pelik yang saya alami dalam bola sepak.

“Jelas sekali dia penjaga gol luar biasa. Namun seronok apabila mendapat satu lagi peluang untuk menewaskannya dalam perlawanan mendatang, apabila Arsenal berkunjung ke Bayern dan dalam satu lagi perlawanan di antara Poland dan Republik Czech bulan hadapan.

“Ia hanya perlawanan persahabatan tetapi permusuhan di antara kami begitu hebat dan pastinya penting untuk persiapan menjelang Euro 2016.”

Bayern akan menentang Arsenal malam esok di Munich, disusuli perlawanan antarabangsa di Wroclaw, 17 November ini.

Lewandowski berada di tahap kemuncaknya musim ini menerusi beberapa jaringan menakjubkan, meletakkanya sebagai penyerang terhangat Eropah.

Namun pilihan peribadinya mungkin salah satu daripada gol kurang menarik sepanjang kariernya, tujahan keras ke gawang lawan pada saat akhir untuk memastikan jaringan penyamaan Poland, 2-2 dengan Scotland pada perlawanan kelayakan Euro 2016 di Glasgow bulan ini.

“Gol di Glasgow sungguh istimewa kerana ia membawa makna yang besar kepada pasukan,” katanya.

“Ia sepakan terakhir perlawanan dan serta-merta mengubah mood dalam pasukan. Ia memberi kami peluang untuk menyempurnakan kelayakan menentang Ireland di Warsaw.”

Lewandowski yang juga kapten Poland, berbangga kerana berjaya menempah tiket ke Euro di Perancis tahun hadapan, kali pertama dia menjadi sebahagian daripada pasukan yang layak ke kejohanan utama.

Penyertaan sebelumnya adalah pada Euro 2012, di mana Poland menjadi tuan rumah bersama dengan Ukraine.

Poland bertemu Republik Czech pada perlawanan peringkat kumpulan, sekali lagi dia gagal menewaskan Cech apabila pasukannya tewas 0-1 di Wroclaw.

“Seronok dapat melayakkan diri sekarang kerana anda sudah memiliki harapan pada awal musim dan bertekad mahu menyempurnakannya,” katanya.

“Namun kami tidak boleh berpuas hati dengan perkara itu semata-mata. Kami perlu mencabar diri untuk terus menjadi lebih baik.”

Lewandowski turut menyedari aksi di kelab menyumbang peningkatannya sejak tahun lalu.

Selain menjadi semakin matang dan keyakinan sejak memegang gelaran kapten Poland, dia sudah mula mendapat faedah daripada menyertai Bayern.

“Apabila anda berlatih setiap hari di Bayen dengan pemain di tahap tinggi, begitu juga tahap kakitangan kejurulatihan maka pada akhirnya anda menjadi pemain bola sepak yang lebih baik,” katanya.

“Saya kehilangan kata-kata untuk meluahkan betapa saya menghargai apa yang diperolehi daripada menyertai Bayern,” kata Lewandowski.

“Anda perlu mengekalkan tahap tinggi untuk bermain mewakili Bayern. Harapan yang diletakkan terhadap kami terlalu tinggi.

“Anda perlu cuba bermain pada tahap tinggi dan menang setiap perlawanan, setiap perlawanan yang anda sertai. Ia menuntut kerja keras tetapi turut memberi kepuasan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:38 AM