PEMAIN Slovakia meraikan kejayaan menewaskan Russia.
PEMAIN Slovakia meraikan kejayaan menewaskan Russia.
Agensi

Lille: Slovakia menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kedua saingan Euro 2016 selepas menewaskan Russia 2-1 di Stade Pierre Mauroy semalam.

Kemenangan itu juga menebus kekecewaan anak buah Leonid Slutski yang tewas 1-2 di tangan Wales pada perlawanan pembukaan Kumpulan B sebelum ini.

Bagi Russia pula, mereka tiada pilihan lain selain perlu menewaskan Wales pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selasa depan jika mahu melangkah ke pusingan kedua.

Minit ke-23 menyaksikan Artem Dzyuba yang muncul penjaring terbanyak kempen kelayakan, hampir meletakkan Russia di depan tetapi cubaannya sedikit tersasar dan pantas ditampan penjaga gol Slovakia Matus Kozakic.

Selang lima minit selepas itu, Russia sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan, tetapi rembatan rendah Fedor Smolov dari luar kotak penalti berpunca hantaran kemas Dzyuba sedikit tersasar ke penjuru kiri gawang gol lawan.

Ketika Russia kerap melakukan serangan, Slovakia melakukan kejutan apabila meledak gol menerusi jaringan pemain tengah Vladimir Weiss pada minit ke-32 yang tidak dikawal dalam kotak penalti selepas menerima hantaran cantik bintang Napoli Marek Hamsik.

Hamsik kemudian menjaringkan gol cantik dari sudut sukar ke penjuru atas kanan gawang lawan selepas menerima hantaran Weiss pada minit ke-45.

Bersambung separuh masa kedua, Russia dilihat bekerja keras mencari gol pertama untuk merapatkan jurang, namun penyudahan tumpul menyukarkan anak buah Slutski.

Bagaimanapun Denis Glushakov yang masuk sebagai pemain gantian, menghidupkan kembali peluang Russia apabila merapatkan jurang pada minit ke-80 menerusi rembatan jarak dekat.

Jaringan itu meningkatkan semangat mereka untuk mencari gol penyamaan apabila melakukan beberapa cubaan merbahaya selepas itu, tetapi segala-galanya sudah terlambat buat Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:13 AM