Elbasan, Albania: Jaringan penyamaan minit akhir Lasse Vibe membantu Denmark memadamkan gol pendahuluan Ermir Lenjani pada separuh masa pertama apabila mereka mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan Kumpulan I kelayakan Euro 2016, awal pagi semalam.

Selepas mencatat kemenangan mengejutkan di tempat lawan ke atas Portugal dalam perlawanan pembukaan, Albania bertahan dengan baik dan membiarkan Denmark menguasai permainan tetapi mereka turut mempunyai beberapa peluang dan menyempurnakan jaringan sebelum rehat.

Albania mendahului pada minit ke-38 apabila Lenjani meluru dari bahagian tengah dan melepaskan rembatan yang terkena Simon Kjaer seterusnya mengelirukan penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Walaupun Denmark dilihat kurang menyerlah dan tidak mempunyai idea ketika menyerang, mereka hampir menyamakan kedudukan 10 minit selepas separuh masa kedua bermula apabila hantaran silang Vibe ditolak ketua pasukan Albania, Lorik Cana tetapi bola itu terkena tiang.

Lenjani melepaskan peluang terbaik untuk menggandakan jaringan buat pasukan tuan rumah apabila rembatannya tersasar selepas berjaya memperdayakan Kjaer.

Denmark menyamakan kedudukan pada minit ke-82 apabila Nicklas Bendtner dijatuhkan dalam petak penalti tetapi Vibe menyambar bola itu dan melepaskan rembatan.

Keputusan itu bermakna Denmark berada di tangga teratas dengan mengutip empat mata, sama seperti Albania namun dibezakan dari segi jumlah jaringan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM