PIATEK menanduk bola menewaskan Austria 1-0 untuk perlawanan kelayakan Euro 2020.
PIATEK menanduk bola menewaskan Austria 1-0 untuk perlawanan kelayakan Euro 2020.
Reuters

PENYERANG Poland Krzysztof Piatek meneruskan musim prolifiknya dengan menjaringkan gol 10 minit selepas diturunkan daripada bangku simpanan untuk menewaskan Austria 1-0 di tempat lawan untuk perlawanan kelayakan Euro 2020.

Jaringan pemain berusia 23 tahun itu, yang kedua buat negaranya turut memberikan jurulatih Poland Jerzy Brzeczek kemenangan pertama selepas tujuh percubaan sejak mengambil alih pasukan selepas Piala Dunia tahun lalu.

Piatek, penjaring kedua terbanyak Serie A musim ini dengan 19 gol buat Genoa dan kemudiannya AC Milan menanduk gol pada minit ke-69 apabila pasukan tuan rumah menerima padah atas penyudah buruk dalam aksi Kumpulan G.

Gawang Poland hampir bolos pada babak akhir perlawanan apabila membenarkan tandukan pemain gantian Austria Marc Janko hasil hantaran Maximilian Woeber namun tandukan penyerang veteran itu tersasar jauh.

Pasukan tuan rumah bermula baik apabila penjaga gol Poland Wojciech Szczesny menepis percubaan Marcel Sabitzer pada minit kelapan dan Marco Arnautovic mensia-siakan peluang apabila sepakan Stefan Lainer terkena kakinya di kawasan penalti.

Penjaga gol Austria Heinz Lindner hanya sekali menyelamatkan gawang pada separuh masa pertama, apabila berjaya menghalang percubaan Kamil Grosicki.

Austria gagal menghalang sepakan sudut dan bola terkena Tomasz Kedziora yang rembatannya ditepis Lindner tetapi berjaya ditanduk Piatek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 12:06 PM