REMBATAN Kolo Muani terkena kaki Vertonghen sehingga menyebabkannya menjaringkan gol ke gawang sendiri. FOTO AFP
REMBATAN Kolo Muani terkena kaki Vertonghen sehingga menyebabkannya menjaringkan gol ke gawang sendiri. FOTO AFP
AFP

Düsseldorf: Gol sendiri lewat permainan oleh Jan Vertonghen menyaksikan Perancis menang 1-0 ke atas Belgium sebentar tadi sekali gus mara ke suku akhir Euro 2024.

Perancis dilihat mendominasi pertembungan 16 terakhir itu tetapi penyudah yang tumpul nampaknya akan memaksa mereka beraksi pada masa tambahan.

Bagaimanapun segala-galanya berubah ketika berbaki lima minit terakhir apabila rembatan pemain gantian, Randal Kolo terkena kaki Vertonghen yang kemudian tidak sengaja menewaskan penjaga gol, Koen Casteels.

Gol itu menyaksikan naib juara Piala Dunia 2022 itu mara ke pusingan lapan terakhir di Hamburg pada Sabtu ini sekali gus menyaksikan mereka kekal di landasan tepat untuk muncul juara Eropah buat kali ketiga.

"Kami sangat berbangga untuk sekali lagi berada di suku akhir. Kami diharapkan untuk mara tetapi kami perlu menghargainya dan tidak menganggap itu sesuatu yang biasa," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

"Ia memalukan. Kami mengikut perancangan ditetapkan. Kami tahu mereka kuat. Sungguh memalukan untuk melepaskan gol seperti yang kami lakukan," kata kapten Belgium. Kevin De Bruyne.

Perancis masih belum menjaringkan gol daripada permainan terbuka selepas empat perlawanan di kejohanan itu.

Kapten, Kylian Mbappe hanya menjaringkan satu gol daripada sepakan penalti ketika menentang Poland, manakala dua lagi jaringan adalah gol sendiri pemain lawan.

Namun apa yang penting ialah mereka dilihat cukup ampuh di bahagian pertahanan apabila hanya dibolosi satu gol setakat ini, iaitu menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 2:32 AM