Ridzuan Abdul Rahman


Kajang: Jenazah komposer terkenal Datuk Adnan Abu Hassan, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, di sini, jam 9.50 pagi tadi.

Terdahulu, Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada jam 2.17 pagi tadi dibawa ke Masjid Al Falah, di sini untuk disembahyangkan.

Allahyarham yang meninggal dunia akibat komplikasi angin ahmar, kencing manis dan kegagalan buah pinggang meninggalkan tiga anak daripada perkahwinan pertama iaitu Aiman Zamir, 20, Aina Zamira, 17, dan Adrian Zahir, 15.

Isterinya, Rozinorhafiza Mohd Fauzi, 38, ketika ditemui berkata, arwah suaminya mula diserang angin ahmar sejak September tahun lalu tetapi keadaannya tidak serius.

"Ketika itu dia masih boleh berjalan walaupun perlahan. Namun, dua minggu lalu dia sekali lagi diserang angin ahmar dan dibawa ke hospital. Selepas seminggu dia dibenarkan pulang tetapi ketika itu arwah sudah tidak boleh berjalan dan hanya terlantar di atas katil.

"Arwah sangat baik orangnya. Sepanjang kami bersama, itu yang paling saya ingati mengenainya. Saya suka menyakatnya dan kadang-kadang dia merajuk. Saya juga cuba memenuhi setiap keinginannya termasuk menyediakan apa yang hendak dimakannya," katanya.

Majlis pengebumian Allahyarham turut dihadiri ramai artis terkenal tanahair terutama yang mencipta populariti menerusi lagu ciptaannya seperti Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar, Liza Hanim, Nora dan ramai lagi.

Misha turut meluangkan masa membaca surah Yasin selepas majlis pengebumian selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 12:59 PM