Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Komposer terkenal Datuk Adnan Abu Hassan, 57, meninggal dunia di Hospital Selayang, di sini, jam 2 pagi tadi akibat angin ahmar, kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

Komposer yang bertanggungjawab memperkenalkan nama-nama besar dalam bidang nyanyian antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan Misha Omar itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan pada jam 12 tengah malam semalam.

Siti, 37, ketika dihubungi menyifatkan Allahyarham seperti seorang bapa dan abang sepanjang perjalanan kerjaya seninya.

Siti yang mula dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan ciptaan Adnan pada 1996 turut menyifatkan beliau sebagai komposer yang tidak pernah berkira.

"Arwah mendidik saya dari mula-mula saya menjadi penyanyi lagi. Saya juga pernah menumpang di rumahnya ketika mula-mula merakamkan album," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Siti, Adnan ialah guru muzik, vokal dan daripada Allahyarhamlah Siti belajar menjadi penyanyi profesional.

Jenazah Adnan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Falah, Sungai Ramal, Kajang jam 11 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:23 AM