PENYANYI, Datuk Khatijah Ibrahim dan Aisyah berbual dengan isteri Datuk Adnan, Rozinorhafiza di Hospital Selayang. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Datuk Khatijah Ibrahim dan Aisyah berbual dengan isteri Datuk Adnan, Rozinorhafiza di Hospital Selayang. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Michelle Gun


Selayang: "Doktor minta saya tawakal kerana bila-bila masa suami boleh pergi," kata isteri komposer terkenal Datuk Adnan Abu Hassan, Datin Rozinorhafiza Mohd Fauzi, 38.

Menurut Rozinorhafiza, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas sesak nafas pada jam 12 tengah malam tadi.

"Suami sekarang terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan dan keadaannya kritikal," katanya ketika ditemui artis dari Yayasan Artis 1Malaysia di Hospital Selayang, semalam.

Turut hadir melawat Adnan adalah penyanyi Datuk DJ Dave, Aisyah, Datuk Siti Khadijah Ibrahim, Datuk A Rahman Hassan dan Datuk M Nasir.

Rozinorhafiza berkata, komposer berusia 57 tahun itu dalam keadaan lemah dan hanya berbaring sepanjang hari di rumah kelmarin.

"Saya mendapati badan suami sangat panas dan menggunakan kain basah untuk mengelapkan badannya.

"Kemudian, apabila saya masuk bilik, suami sudah menarik nafas panjang dan badannya lembik," katanya.

Menurutnya, Adnan pernah diserang angin ahmar pada November tahun lalu dan penyakit itu datang semula dua minggu lalu.

Adnan mempunyai tiga anak kandung hasil perkahwinan pertama iaitu Aiman Zamir, 20; Aina Zamira, 17; dan Adrian Zahir, 15.

Beliau menghasilkan karya untuk penyanyi hebat seperti Fauziah Latiff, Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Liza Hanim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 6:29 PM