AMRAN Tompel
AMRAN Tompel
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Amran Tompel, 72, meninggal semasa dalam tempoh kuarantin akibat Covid-19 di rumahnya di Taman Matahari Height Senawang, Seremban jam 4.37 petang, hari ini

Abang Allahyarham, pelakon AR Badul ketika dihubungi berkata, arwah adiknya sepatutnya tamat tempoh kuarantin hari ini.

"Saya sebenarnya baharu balik dari Perak dan sebaik sampai di Kuala Lumpur baru sempat baca mesej  WhatsApp berkenaan kematiannya.

"Kematiannya berpunca dari kanser usus, masalah buah pinggang dan baru-baru ini Amran positif Covid-19 dan jalani kuarantin. 

"Hari ini hari terakhir kuarantin dan tak sangka dia sudah tiada," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Amran atau nama sebenarnya Amran Aman Ramlie mengalami gejala pelupa selepas terlantar akibat serangan angin ahmar.

Dia juga kurang selera makan hingga berat badannya semakin menurun.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Jelebu, Negeri Sembilan pada awal Mac 2020 selepas mengadu tangan kirinya tidak boleh bergerak.      

Bagaimanapun, selepas empat hari dia dibenarkan pulang.

Beliau yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990-an hingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 6:19 PM