Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Prestasi hambar pemain perseorangan negara Chong Wei Feng (gambar) di kejohanan Seluruh England mendorong Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membincangkan mengenai nasib pemain itu pada mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T), dijadualkanberlangsung 18 Mac ini.

Pengurus pasukan ke kejohanan itu yang juga Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, selaku pemain berpengalaman, Wei Feng tidak sepatutnya kecundang lebih awal.

Wei Feng tewas pada perlawanan kedua peringkat kelayakan di tangan pemain muda Jepun Kenta Nishimoto 10-21, 17-21 hanya dalam tempoh 41 minit sekali gus menyaksikannya gagal mara ke pusingan pertama.

Sebelum itu, Wei Feng terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Jaochim Perrson dari Denmark 21-11, 22-24, 21-17.

“Keputusan ini sememangnya mengecewakan kerana dia tersingkir di peringkat kelayakan.

“Apabila sudah diberi peluang beraksi, sudah tentu dia sudah berada dalam situasi cergas sepenuhnya. Jika gagal meningkatkan prestasinya, dia akan ketinggalan berbanding pemain muda lain,” katanya.

Norza merujuk kepada persoalan kemungkinan Wei Feng gagal beraksi baik berikutan masih belum pulih daripada kecederaan lutut.

Sementara itu, beregu profesional negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melepasi pusingan pertama selepas bangkit menewaskan pasangan India Manu Attri-B Sumeeth Reddy menerusi pertarungan tiga set.

Bekas juara 2007 itu tewas 16-21 pada set pertama tetapi bangkit memperkemaskan rentak permainan untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-15 pada set kedua dan penentuan perlawanan yang mengambil masa 54 minit itu.

Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 21-16, 17-21, 20-22 kepada pilihan keempat dari Korea Selatan Ko Sung Hyun-Kim Ha Na.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:35 AM