MUHAMMAD Salman bersama ibunya, Mazini menunjukkan slip keputusan STPM. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MUHAMMAD Salman bersama ibunya, Mazini menunjukkan slip keputusan STPM. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KESUKARAN hidup memberi perangsang kepada seorang anak tukang urut untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.

Hasil kesungguhan itu, Muhammad Salman Hakim Mahayidin, 20, diumum antara 10 pelajar cemerlang yang memperoleh 4A dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM 2019 yang diumumkan di Kuala Terengganu, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (SMKSS) itu berkata, ibunya Mazini Abdullah, 56, bersusah payah membesarkannya dan tiga adik beradik lain selepas berpisah dengan arwah ayah.

“Selepas ibu bercerai dengan ayah, Mahayidin Abbas, 54, pada 2002, ibu yang menjaga kami empat beradik.

“Ibu melakukan semua kerja seperti mengurut, menjahit dan berniaga secara kecil-kecilan untuk memastikan empat anaknya mendapat pendidikan yang baik,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Keputusan STPM 2019 Terengganu di SMKSS, hari ini.

Pada majlis itu, Muhamad Salman ditemani Mazini menerima sijil penghargaan dan slip peperiksaan daripada Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Azman Othman.

Katanya, memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran banyak membantunya lebih memahami setiap subjek.

“Ulangkaji semula setiap subjek yang dipelajari di dalam kelas juga membantu pelajar untuk cepat mengingati ilmu yang baru dipelajari,” katanya yang juga fasih bertutur dalam bahasa Mandarin.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi pakar ekonomi dan berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM).

“Selain belajar saya juga aktif menari dan kerap menyertai pertandingan tarian yang dianjurkan di seluruh negeri.

“Seni tarian ialah hobi pada masa lapang dan ia juga antara senaman yang saya amalkan untuk kekal sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:55 PM