PERTANDINGAN dikir barat yang turut disertai pelajar Cina.
PERTANDINGAN dikir barat yang turut disertai pelajar Cina.
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar


Pelajar SMK Sultan Sulaiman (SMKSS) Kuala Terengganu, Terengganu me­nganjurkan pertandingan Malam Budaya Bangsa, baru-baru ini.

Pertandingan itu sempena Perkhemahan Perdana Unit Badan Beruniform sekolah berkenaan.

Penolong Kem Komandan merangkap ahli Jawatankuasa Bahagian Aktiviti SMKSS, Zurianis Mohd Zainuddin berkata, pertandingan itu bagi menghidupkan kembali seni warisan tradisional untuk diketengahkan kepada generasi muda.

"Golongan muda ­banyak terdedah de­ngan bentuk hiburan moden dan jika tindakan tidak diambil, mereka mungkin melupakan seni bangsa sendiri.

"Pertandingan ini antara usaha memberi kesedaran bahawa seni warisan bangsa memainkan peranan besar dalam pembentukan sosial masyarakat," katanya.

Antara seni warisan bangsa yang dipertandingkan ialah dikir barat, boria, seni teater dan tarian.

Ia turut disertai pel­bagai latar belakang pelajar termasuk bukan Melayu yang mempersembahkan dikir barat dengan pakaian tradisional baju melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:40 AM