BARISAN atlet dan guru Rumah Mahkota memperaga hadiah kemenangan.
BARISAN atlet dan guru Rumah Mahkota memperaga hadiah kemenangan.

Kuala Terengganu: Seperti diramal Rumah Mahkota sukar digugat. Ini terbukti apabila mereka menjuarai Kejohanan Balapan dan Padang SMK Sultan Sulaiman (SMKSS) Ke-66, baru-baru ini.

Bukan setakat dinobatkan juara keseluruhan, malah Rumah Mahkota turut menerima anugerah Atlet Terbaik Perempuan Tingkatan 1 menerusi Nurin Batrisya Nordin, Atlet Terbaik Perempuan Bawah 18 (Nur Aizah Hilyati Hassan), Atlet Terbaik Lelaki B-18 (Ahmad Nabil Zubir).

Selain itu, Noor Nasyriq Mazlan menambahkan keriangan Rumah Mahkota apabila dinobat Olahragawan Kejohanan.

Rumah Mahkota memungut 264 mata keseluruhan berbanding pesaing terdekat Rumah Laksamana, 182. Ketiga Rumah Paduka (152) dan keempat Rumah Indera (143).

Ketua Guru Penasihat Rumah Mahkota Mohammad Zainol memberitahu rahsia kejayaan mereka banyak terletak pada semangat untuk membuktikan yang terbaik.

“Sudah enam tahun kami menanti saat ini untuk bergelar juara, maka sudah tentu kejayaan dicapai ini sangat bermakna.

“Semuanya berkat kerjasama semua guru penasihat yang menjadi jurulatih dan atlet.

“Sesungguhnya tahun ini paling manis buat Rumah Mahkota kerana berjaya membuktikan kami jagoan dalam Kejohanan Merentas Desa, selain menjuarai Kejohanan Sukantara.

“Jadi, kejuaraan Kejohanan Balapan dan Padang ini pelengkap untuk mengesahkan keunggulan Rumah Mahkota,” kata Muhammad.

Perasmian Kejohanan Balapan dan Padang itu disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong manakala Majlis Penyampaian Hadiah disampaikan Pengetua Shamsuddin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:08 AM