POULTER
POULTER

Shah Alam: ”Saya tak peduli siapa lawan.”

Demikian pandangan pemain negara Danny Chia selepas undian acara perseorangan saingan Piala EurAsia hari ini menyaksikan dia bakal bertemu pemain terkemuka dunia Ian Poulter.

Jelas Danny, dia hanya mahu melakukan yang terbaik pada setiap pukulan tanpa memikirkan lawannya itu dalam usaha membantu Pasukan Asia meraih mata untuk menghidupkan peluang meraih gelaran juara keseluruhan pada pusingan penentuan, hari ini.

Selepas dua hari, Pasukan Eropah mendominasi perlawanan dengan selesa mendahului 9-3.

“Tak kira sama ada Poulter atau sesiapapun, jika dia melakukan pukulan teruk, ia tetap teruk.

“Seperti saya katakan sebelum ini, saya hanya perlu melakukan setiap pukulan dengan baik. Kami perlu teruskan perjuangan ini,” katanya.

Poulter yang berasal dari England, sudah memenangi 12 Jelajah Eropah sejak bergelar pemain profesional pada 1995.

Semalam, gandingan Danny serta rakan senegara Nicholas Fung sekali lagi cemerlang apabila menyumbang 1/2 mata untuk Pasukan Asia ketika bertemu Victor Dubuisson-Soren Kjeldsen dalam acara foursome.

Nicholas juga bakal berdepan tugas sukar apabila bertemu seorang lagi pemain terkemuka Eropah Lee Westwood yang mempunyai pengalaman luas dan memegang rekod 23 kemenangan di Jelajah Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:04 AM