KETUA pasukan Eropah Darren Clarke (kiri) dan Ketua Pasukan Asia Jeev Milkha Singh memperagakan piala EurAsia yang akan menjadi rebutan antara Eropah dan Asia.
KETUA pasukan Eropah Darren Clarke (kiri) dan Ketua Pasukan Asia Jeev Milkha Singh memperagakan piala EurAsia yang akan menjadi rebutan antara Eropah dan Asia.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Kehadiran nama-nama besar dalam Pasukan Eropah memberi mesej jelas mereka benar-benar mahu memenangi Piala Eurasia buat kali pertama selepas sekadar seri dengan Pasukan Asia dua tahun lalu.

Pemenang Order of Merit Jelajah Asia, Anirban Lahiri berkata, ia juga memberi mesej jelas Pasukan Eropah kini tidak memandang rendah Pasukan Asia yang dilihat membariskan pemain berkualiti pada edisi kedua penganjuran piala berprestij itu.

“Kita dapat saksikan Eropah membariskan pasukan yang lebih kuat. Jadi apa maksud di sebalik itu?

“Maksudnya mereka melihat kami (Pasukan Asia) pasukan yang kuat. Mereka pasti tidak mahu memberi ruang kepada kami untuk menang.

“Apapun, dalam kalangan kami, saya rasa kami sememangnya mempunyai sebuah pasukan kuat,” katanya pada sidang media semalam di Glenmarie Golf & Country Club.

Jelas Anirban, edisi pertama dua tahun lalu sememangnya memberi pengalaman cukup bermakna kepada Pasukan Asia yang ketinggalan 5-0 pada hari pertama kejohanan.

“Benar, banyak keraguan pada hari pertama ketika itu, tapi kami berjaya bangkit semula selepas itu. Dua tahun sudah berlalu dan kini saya rasa Pasukan Asia lebih kuat.

“Apapun, saya rasa kami masih lagi memegang status pasukan bukan pilihan dan ia memberi kelebihan kepada kami dan memberi tekanan kepada Pasukan Eropah,” katanya.

Antara nama besar yang membarisi Pasukan Eropah kali ini ialah Lee Westwood, Victor Dubuisson serta Ian Poulter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 9:55 AM